
KUALA LUMPUR: Sistem politik terlalu mahal, dominasi budaya toksik, serta kelemahan ekosistem sokongan struktur dikenal pasti sebagai punca utama menyekat penglibatan golongan wanita dalam arena kepimpinan politik negara.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menegaskan, kegagalan mencapai sasaran 30 peratus perwakilan wanita bukan disebabkan faktor kekurangan kebolehan, sebaliknya berakar umbi daripada sistem sedia ada belum cukup matang untuk memberi ruang yang adil.
“Usaha pemerkasaan ini tidak seharusnya terjebak dalam perangkap angka statistik semata-mata. Wanita bukan kelompok minoriti dalam negara ini.
“Malah wanita merupakan hampir separuh daripada penduduk Malaysia, memainkan peranan besar dalam institusi keluarga, pendidikan, ekonomi, sektor profesional, perkhidmatan awam dan pembangunan masyarakat.
“Oleh itu adalah wajar suara wanita turut diberikan ruang yang lebih besar dalam proses membuat keputusan negara. Namun demikian, saya berpandangan bahawa perbahasan ini perlu bergerak melangkaui persoalan angka semata-mata.
“Persoalan yang lebih besar ialah, adakah masalah utama politik Malaysia hari ini ialah kekurangan wanita dalam politik, atau kegagalan sistem politik kita menyediakan laluan yang adil kepada wanita untuk sampai ke peringkat kepimpinan?
“Inilah persoalan yang perlu kita jawab dengan jujur,” tegas beliau membahas Penyata Kesaksamaan Gender Dalam Politik Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut memetik ayat 71 surah at-Taubah bagi membuktikan bahawa Islam sejak awal lagi telah meletakkan kedudukan wanita di tempat yang sangat mulia termasuk dalam urusan tadbir urus masyarakat.
Mumtaz turut memperincikan faktor-faktor sistemik utama yang menjadi tembok penghalang (gatekeeping) bagi menghalang kemasukan bakat-bakat baharu wanita ke dalam hierarki politik nasional.
Iaitu proses pencalonan dalaman parti di mana struktur peringkat bawah masih didominasi lelaki, ditambah pula budaya kelebihan penyandang, mengehadkan ruang calon wanita baharu.
Juga ketidakseimbangan akses membuatkan wanita kurang terlibat dalam laluan awal parti seperti sayap pemuda atau akar umbi yang menjadi rantaian paip ke peringkat pencalonan.
Laluan politik tidak formal juga ujarnya apabila calon lelaki lebih mendapat pendedahan menerusi jaringan tidak formal dan mentor politik di lapangan.
Termasuk katanya, jurang pendedahan awal berbanding lelaki kepada aktiviti politik sejak peringkat kampus, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jaringan sosial politik.
Turut menyumbang dedahnya, kelemahan ekosistem sokongan di mana tiada undang-undang khusus dan mekanise sistematik untuk melatih, membimbing, membiayai dan menyediakan calon wanita secara berstruktur.
Mengulas isu kos politik semakin tinggi, beliau menyatakan kos kempen yang mahal hanya memberikan kelebihan eksklusif kepada kelompok mempunyai rangkaian dana besar di mana ramai wanita bukan tidak mahu bertanding, tetapi terhalang akibat isu kewangan.
Bagi mengatasi isu berkenaan, beliau mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan reformasi pembiayaan politik berasaskan insentif kewangan melalui pengenalan tiga jenis dana khusus.
Iaitu dana pembiayaan kempen pilihan raya, dana pembiayaan tahunan bagi calon wanita yang memenangi pilihan raya dan dana pembiayaan tahunan khusus bagi parti politik yang meningkatkan pencalonan wanita.
Cadangan ini turut disokong oleh dapatan kajian daripada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) Gender merangkumi instrumen Penilaian Impak Gender dan Kemudahan Mesra Gender.
Mumtaz turut melahirkan rasa kesal terhadap budaya politik toksik serta buli siber di media sosial yang sering kali menjadikan wanita sebagai sasaran serangan peribadi, fizikal dan status keluarga berbanding kritikan dasar.
“Ketika pembangkang membangkitkan perkara ini… Apabila seorang ahli politik lelaki melakukan kesilapan, rakyat mengkritik tindakannya. Tetapi apabila seorang ahli politik wanita melakukan kesilapan, sering kali yang diserang ialah dirinya sebagai seorang wanita.
“Budaya sebegini tidak akan membantu negara melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berkualiti,” bidas beliau turut mengemukakan dua cadangan utama di peringkat Parlimen.
Iaitu menguatkuasakan Kod Tatakelakuan Parlimen Berkaitan Gangguan dan Diskriminasi dan menginstitusikan Latihan Sensitiviti Gender dan Kepimpinan Inklusif.
Satu lagi halangan sosioekonomi yang ketara dikemukakannya ialah bebanan penjagaan keluarga yang tinggi di mana mengehadkan mobiliti wanita untuk terlibat aktif dalam penggubalan undang-undang.
Beliau mendesak penubuhan sistem sokongan, insentif, serta penggubalan Akta Kerja Fleksibel agar wanita yang layak dapat tampil ke hadapan tanpa perlu mengabaikan fitrah serta kesejahteraan keluarga mereka.
Beliau turut mengkritik ketiadaan mekanisme penguatkuasaan wajib dalam isu kuota 30 peratus ini, yang menyebabkan pelaksanaannya oleh Kementerian Wanita dan kementerian lain kelihatan tidak tersusun seolah-olah tiada kesungguhan politik daripada pemimpin tertinggi.
Peranan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga dituntutnya agar memperluas pendidikan demokrasi yang lebih bersasar kepada wanita.
Menarik perhatian dewan, Mumtaz mengingatkan agar naratif pemerkasaan wanita tidak bersifat ‘bias bandar’, sebaliknya wajib mengangkat martabat kepimpinan wanita di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Tuan Yang di-Pertua, dalam laporan ini, kita membincangkan soal penyertaan wanita dalam politik. Namun saya ingin membawa satu dimensi yang sering terlepas pandang, yaitu kedudukan wanita luar bandar.
“Apabila kita bercakap mengenai wanita dalam politik, jangan hanya melihat wanita di bandar-bandar besar. Jangan hanya melihat wanita yang mempunyai akses kepada pendidikan tinggi, jaringan politik dan sumber kewangan yang kukuh.
“Kita juga mesti melihat wanita petani di Sik, wanita pesawah di Kedah, wanita nelayan di Pantai Timur, wanita FELDA, wanita pekebun kecil serta wanita di pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Mereka juga mempunyai kepimpinan. Mereka juga mempunyai kemampuan. Tetapi peluang untuk mereka sampai ke peringkat pembuat dasar jauh lebih terbatas. Ukuran sebenar kejayaan bukanlah apabila kita mempunyai 30 peratus wanita dalam politik.
“Ukuran sebenar kejayaan ialah apabila wanita dari kampung, dari keluarga B40 dan dari kawasan pedalaman turut mempunyai laluan yang adil untuk menjadi pemimpin negara,” hujah beliau panjang lebar.
Sebagai langkah intervensi, beliau mendesak kerajaan mewujudkan Pelan Pembangunan Kepimpinan Wanita Nasional khusus untuk kelompok luar bandar ini agar suara mereka setaraf dengan wanita bandar di parlimen.
Selain itu gesanya, parlimen perlu mewujudkan mekanisme pemantauan tahunan menerusi Audit Gender dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi memeriksa pelaksanaan bajet negara secara terperinci. – HARAKAHDAILY 22/6/2026
















