
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menyasarkan untuk memenangi sehingga 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan memberi tumpuan kepada kawasan majoriti Melayu bagi memperkukuhkan kedudukan di negeri itu.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, PAS mempunyai matlamat untuk membentuk kerajaan negeri, namun mengakui usaha tersebut memerlukan kerjasama dengan parti lain dan tidak mudah dicapai secara bersendirian.
“Seperti mana saya sebutkan, kita ada tujuan dan matlamat untuk menawan dan menjadi kerajaan di Negeri Sembilan. Namun, kalau kita bersendirian mungkin tidak akan tercapai tujuan tersebut.
“Insya-Allah kita akan bersama gabungan, tetapi bersama siapa dan bagaimana bentuknya masih belum boleh disebut sehingga diputuskan oleh pimpinan atasan PAS Pusat. Saya tidak mahu mendahului keputusan Pusat,” katanya pada sidang media di sini.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting itu, PAS Negeri Sembilan akan mempertahankan tiga kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini di samping berusaha menambah kerusi baharu.
Menurut Ustaz Mohd Fairuz, sasaran utama parti itu adalah kawasan majoriti Melayu kerana kerusi campuran dilihat lebih mencabar untuk dimenangi.
“Kita lebih fokus kepada kerusi Melayu kerana kita tahu kerusi campuran agak sukar untuk dimenangi. Sasaran kita mungkin sekitar 10 kerusi atau lebih, mungkin 13 kerusi, insya-Allah,” maklumnya.
Beliau berkata, sekiranya berlaku pembahagian kerusi dengan parti lain, PAS mungkin perlu bertanding di beberapa kawasan di mana kini dikuasai parti lain, khususnya kawasan yang mempunyai lebih 40 peratus pengundi Melayu.
“Bila ada pembahagian kerusi, mungkin kerusi Melayu itu tidak mencukupi untuk dipertandingkan. Jadi kita mungkin perlu bertanding di beberapa kerusi sedia ada yang dimiliki parti lain, terutama kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 40 peratus,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan proses pemilihan calon PAS Negeri Sembilan kini berada pada tahap antara 80 hingga 90 peratus, sebelum senarai akhir diserahkan kepada kepimpinan Pusat untuk pertimbangan.
Maklumnya juga, aspek integriti menjadi antara kriteria utama pemilihan calon selain memberi perhatian kepada calon yang lebih muda.
“Calon-calon itu mestilah berintegriti. Dari sudut umur pula, kita beri perhatian kepada calon yang lebih muda sedikit, mungkin sekitar lingkungan 40 hingga 60 tahun,” jelasnya.
Mengulas hubungan PAS dan BERSATU, beliau mengakui terdapat beberapa isu yang sedang dibincangkan dan keadaan itu mungkin memberi kesan kepada pengagihan lima kerusi dimenangi sebelum ini.
“Sekarang ini PAS dengan BERSATU ada sedikit isu. Jadi bagi lima kerusi yang ada sekarang, mungkin ada sedikit perubahan. Namun, semuanya bergantung kepada keputusan pimpinan Pusat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi termasuk berkaitan kerjasama politik dan pembahagian kerusi.
“Mana-mana parti pun sama, semuanya bergantung kepada Majlis Tertinggi (Perikatan Nasional) dan keputusan (PAS) Pusat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











