
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menurunkan semula harga diesel bersubsidi baru-baru ini disifatkan sebagai satu tindakan tepat yang melegakan rakyat, namun ketidakkonsistenan garis masa pelaksanaan dasar berkenaan mula mengundang persoalan besar daripada blok pembangkang.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyatakan bahawa, walaupun sebarang usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat wajar disokong, kerajaan perlu menjelaskan mengapa mekanisme penyasaran subsidi yang lebih mesra rakyat tidak dilaksanakan sejak awal lagi.
“Namun persoalan yang sukar dielakkan ialah mengapa langkah seperti ini tidak dilaksanakan lebih awal. Pada Jun 2024, kerajaan menaikkan harga diesel di Semenanjung daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter dengan alasan rasionalisasi subsidi dan keperluan mengekang ketirisan.
”Ketika itu, harga minyak mentah Brent berada pada purata sekitar USD82 setong. Hari ini, harga Brent juga berada sekitar USD80–82 setong, tetapi kerajaan mampu pula menurunkan harga diesel bersubsidi.
“Jika harga minyak dunia berada pada lingkungan yang hampir sama, apakah sebenarnya faktor yang berubah?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam media sosial miliknya hari ini.
Terdahulu, pada 10 Jun 2024, kerajaan secara rasmi mengapungkan harga diesel di Semenanjung Malaysia daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter sebagai sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi nasional bagi menjimatkan hasil negara dan mengekang aktiviti penyeludupan ke negara jiran.
Bagaimanapun, dasar berkenaan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak ekoran kesan rantaiannya terhadap peningkatan kos logistik dan barangan keperluan.
Ketegangan politik kembali memuncak pada pertengahan tahun 2026 ini apabila kerajaan memperkenalkan mekanisme pengesahan subsidi diesel menggunakan sistem kad pengenalan di stesen minyak yang membolehkan harga pam diturunkan semula bagi menyasarkan golongan yang benar-benar layak.
Walau bagaimanapun, Ahmad Fadhli mempersoalkan, mengapa kaedah pengesahan identiti pengguna yang diguna pakai ketika ini tidak diperkenalkan sebelum langkah pengapungan harga dibuat pada tahun 2024, sehingga memaksa golongan sasar menanggung bebanan kewangan yang panjang.
Beliau turut menyelar tindakan pihak kerajaan yang sebelum ini melabel kritikan pembangkang sebagai tidak berasas dan tidak memahami logik pengurusan makroekonomi.
“Sebab itulah pada 10 Jun 2024, saya menyifatkan kenaikan diesel tersebut sebagai satu tindakan yang maha terkutuk kerana kesannya dirasai terus oleh rakyat, peniaga kecil, petani, nelayan dan sektor pengangkutan.
“Jika alasan utama pada waktu itu ialah untuk mengelakkan kebocoran dan penyalahgunaan subsidi, mengapa mekanisme pengesahan menggunakan kad pengenalan seperti yang dilaksanakan hari ini tidak diperkenalkan sejak awal?
“Adakah kerajaan ketika itu tidak mempunyai pilihan lain, atau kerajaan baru sekarang terfikir bahawa terdapat kaedah yang lebih baik untuk menyasarkan subsidi tanpa menghukum majoriti rakyat terlebih dahulu?
“Ketika pembangkang membangkitkan perkara ini pada tahun 2024, kami dituduh tidak memahami ekonomi dan kononnya tidak memahami keperluan subsidi bersasar. Namun perkembangan hari ini menunjukkan bahawa terdapat pilihan dasar lain yang boleh dipertimbangkan,” bidas beliau.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa perubahan drastik dalam pendekatan dasar pengurusan subsidi itu mendedahkan corak tadbir urus yang tidak konsisten serta tidak mempunyai perancangan jangka panjang yang kukuh.
Beliau menegaskan, motif sebenar di sebalik kelonggaran kaedah subsidi serta penurunan harga pada ketika ini mempunyai kaitan langsung dengan garis masa politik negara yang semakin menghampiri Pilihan Raya Umum (PRU).
“Oleh itu, rakyat berhak bertanya sama ada Malaysia sedang ditadbir oleh sebuah kerajaan yang mempunyai dasar yang konsisten dan berpandangan jauh, atau sebuah kerajaan yang sering mengubah pendekatan mengikut keadaan semasa.
“Jika pada paras harga minyak dunia yang hampir sama kerajaan boleh membuat keputusan yang berbeza, maka yang berbeza hanyalah waktunya, dulu masih jauh dengan pilihan raya, sekarang pilihan raya sudah hampir, itu sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











