‘Cepat atau lambat kami serang Syria’ – Menteri Israel

‘Strategi Israel semarakkan keganasan di Timur Tengah’ - Macron terbukti benar?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan terbaharu Presiden Perancis, Emmanuel Macron bahawa strategi ketenteraan Israel di Lubnan, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat berisiko mencetuskan lebih banyak keganasan di seluruh Timur Tengah menjadi kenyataan susulan kenyataan terkini seorang menteri Israel.

Ia adalah susulan kenyataan Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli, yang mendakwa Israel hanya menunggu masa untuk melancarkan perang terhadap Syria selain menyasarkan Turkiye, dengan alasan jahat bahawa kedua-dua Syria dan Türkiye telah menimbulkan ‘cabaran strategik yang lebih besar’ kepada Israel; berbanding Iran.

- Advertisement -

“Kami akan melancarkan perang ke atas Syria, ia sama ada cepat atau lambat, kerana Syria dan Türkiye jauh lebih membimbangkan berbanding Iran,” kata Chikli pada lewat Khamis dipetik dalam temu bual dengan stesen radio Israel 103FM, yang bergabung dengan akhbar Maariv.

Komennya itu dibuat hanya beberapa jam selepas Iran dan Amerika Syarikat menandatangani memorandum persefahaman (MoU) elektronik yang bertujuan untuk menamatkan permusuhan di beberapa bidang serantau, termasuk Lubnan.

Chikli, ahli parti Likud pemerintah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, sebelum ini telah berulang kali mengkritik perantara serantau yang terlibat dalam usaha diplomatik untuk menyelesaikan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah yang dicetuskan rejim Zionis itu.

Menteri Israel itu dalam kenyataannya itu juga telah melahirkan kegusarannya terhadap apa yang didakwanya sebagai ‘paksi Qatar-Türkiye-Pakistan’, dengan mendakwa bahawa ketiga-tiga negara itu telah mempengaruhi perjanjian yang baru muncul antara Washington dan Tehran.

“Perjanjian yang terbentuk itu membimbangkan, dan apa yang paling tidak membimbangkan saya ialah pemulihan ekonomi Iran,” kata Chikli, merujuk kepada kesan perang dan sekatan selama bertahun-tahun terhadap Iran.

Chikli juga mendakwa bahawa kebimbangan utamanya ialah penjajaran serantau yang beliau percaya telah membantu membentuk MoU AS-Iran itu.

“Apa yang kita lihat di depan mata kita ialah kebangkitan paksi baharu,” dakwa Chikli, mendakwanya sebagai ‘paksi Sunni radikal yang sangat berbahaya’.

Pakistan dan Qatar sebelum ini telah memainkan peranan pengantaraan dalam hubungan antara Washington dan Tehran, manakala Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengalu-alukan MoU AS-Iran, melabelkannya sebagai ‘perkembangan penting’ untuk keamanan dan kestabilan serantau di Timur Tengah.

Terdahulu, pada Khamis, dalam wawancara bersama penyiar France 2, Emmanuel Macron berkata tindakan yang berterusan dilaksanakan oleh kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berpotensi menimbulkan rasa tidak puas hati yang mendalam dalam kalangan penduduk rantau Timur Tengah.

Macron menekankan bahawa keselamatan Israel tidak boleh dicapai melalui penguasaan atau penaklukan wilayah negara jiran.

“Strategi (ketenteraan) yang terus dijalankan di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan selatan Lubnan, dalam jangka panjang, bertentangan dengan kepentingan Israel sendiri kerana ia mencetuskan rasa tidak puas hati dan keganasan dalam kalangan masyarakat di rantau (Timur Tengah) ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga menegaskan kepentingan perjanjian damai baharu melibatkan Mou AS-Iran disifatkan sebagai langkah penting untuk kestabilan Lubnan dan rantau tersebut secara keseluruhan. – HARAKAHDAILY 19/6/2026

- Advertisement -