
ALHAMDULILLAH orang Malaysia adalah dari kalangan orang yang baik-baik dengan hati yang suci murni, suka membantu. Sehinggakan begitu ramai rakyat negara lain datang menumpang rezeki di sini dan kita tetap membantu.
Apa lagi jika ada video-video kisah sedih kemiskinan, kesusahan dan kemelaratan hidup, maka akan mengalir lajulah air mata dan wang bagi membantu. Tidak lupa juga bagi sesetengah netizen, yang laju dengan makian, cacian dan sumpah seranah.
Sehari dua ini, ada satu podcast yang memaparkan seorang murid sekolah di Bukit Jejulung, Marang yang miskin, tidak membawa wang saku ke sekolah. Maka dengan cepat, berita tersebar dan beramai-ramailah mereka mencari pelajar itu. Apabila dijumpai, kemudiannya tersebar pula video keadaan rumah pelajar itu. Memang daif rumah mereka.
Maka bermulalah kutipan sumbangan oleh sesetengah pihak bagi membantu keluarga pelajar ini. Begitulah kemuliaan hati rakyat Malaysia. Namun ia tidak hanya datang dengan wang, malahan juga makian oleh para pembenci samada sudah tahu cerita sebenar untuk menambah fitnah ataupun mereka tidak tahu kisah betul disebalik apa yang terjadi.
Bagi yang tidak tahu dan tidak mahu menambah fitnah, mari kita hadam kisahnya yang sebenar. Bagi yang memang berniat untuk memaki, tulisan ini bukan untuk kamu. Ya, keluarga ini memang keluarga yang miskin. Tetapi dalam banyak keadaan, mereka tidak terlalu mengadu kepada JPKK, mungkin segan. Hanya mereka bercakap dengan orang-orang terdekat jika menghadapi kesusahan.
JPKK sebenarnya telah meletakkan mereka dalam senarai keutamaan bantuan jika tiba musim persekolahan dan sebagainya. Bantuan seperti atap juga pernah mereka terima, menunjukkan bahawa kesusahan mereka sememangnya berada dalam makluman JPKK sebelum ini. Bantuan Maidam juga mereka terima tanpa gagal.
Mereka juga pernah mendapat bantuan JKM apabila si ibu menjadi penjaga berdaftar adiknya yang masih bersekolah. Apabila adiknya sudah tidak bersekolah, mungkin kerana salah faham, tidak ada maklumat jelas dan apabila si ibu berkahwin kali kedua, beliau tidak lagi mendaftar bagi menyambung bantuan bagi keluarganya kerana menyangka jika sudah berkahwin, mereka tidak akan menerima bantuan lagi. Maka terhentilah bantuan JKM itu kerana salah faham si ibu.
Berkaitan dengan rumah mereka, mereka tinggal tiga keluarga terdiri daripada adik beradik mereka. Rumah yang uzur itu pernah cuba dibantu oleh agensi kerajaan untuk dibina, tetapi masalah geran tanah yang tidak difaraidkan, menyukarkan pihak agensi untuk membantu. Tanah itu milik nenek mereka dan ibu mereka juga telah meninggal, menjadikan kes faraid semakin membesar dalam 10 adik beradik.
Mengikut prosedur bagi membina rumah PPRT, pemohon mesti ada geran sendiri ataupun persetujuan bertulis dari waris-waris lain yang ada hak atas tanah itu. Akan tetapi persetujuan dari waris tidak berlaku dalam kes mereka ini. Oleh itu agensi terpaksa menangguhkan dahulu bantuan membina rumah mereka itu.
Namun atas usaha oleh Ustaz Sulaiman Sulong, ADUN Pengkalan Berangan, beliau berjaya mencari beberapa orang dermawan bagi membantu keluarga ini membina rumah mereka sendiri. Usaha sedang dijalankan, persetujuan sudah diberikan untuk belanja pembinaan dan insyaallah tidak lama lagi, mereka akan memulakan pembinaan bukan sahaja bagi keluarga pelajar itu, tetapi juga kepada dua lagi keluarga mereka yang tinggal bersama, alhamdulillah.
Ustaz Sulaiman juga telah meminta JKM agar menyambung semula bantuan yang terhenti itu untuk diberikan semula kepada keluarga ini. Insya-Allah seawal bulan depan jika tiada aral, mereka akan menikmati semula bantuan JKM yang pernah mereka terima dahulu.
Terima kasih atas keprihatinan rakyat Terengganu terutama kepada guru murid tersebut yang mendedahkan perkara ini. Semoga ada limpahan rezeki buat keluarga ini hasil dari sikap dermawan rakyat Malaysia.
Cuma satu yang perlu diingat, untuk memberikan bantuan, pastikan ia tepat kepada penerima dan perlu menyemak berkenaan peranan agensi dan kiran-jiran sekampung yang telah memberikan bantuan. Jangan hanya melihat sekerat video pendek, kemudian terus menghukum pihak lain tidak menjalankan tanggungjawab. Hanya saya terpaling membantu, itu tidak baik.
Masih ingatkan kita dengan beberapa kisah tular dahulu berkenaan bantuan seorang selebriti kepada orang yang kononnya susah di Kedah dan Kelantan sambil pihak berwajib dan jiran tetangga turut dimaki dan dimarahi kerana tidak berperanan?
Rupanya kisah nyata, tidak sebegitu. Hanya kerana ia ditularkan oleh orang yang ada nama, semua cerita separuh masak itu dianggap betul. Akhirnya di sebalik mahu membantu, kita menjadi penyebar fitnah. Begitu juga kes yang cuba menagih simpati menggunakan anak.
Kita memarahi si Azizah scammer Rohingya yang memfitnah Malaysia sebagai kejam terhadap Rohingya hanya dengan cerita mulut sahaja. Maka jangan kita menjadi Azizah Rohingya kedua dalam menyebarkan fitnah terhadap pihak yang telah melaksanakan kerja mereka.
Habis licin amal baik kita, bak daun kayu dimakan api. Sia-sia sahaja. Kebaikan yang tidak berakal akan menimbulkan fitnah yang berantai.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 19/6/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











