
MEMBACA dan menonton pelbagai catatan, infografik, cuplikan video pendek mengenai kemasukan ahli-ahli baru berprofil tinggi di media sosial dalam minggu ini dengan kesibukan berprogram seakan meruak kembali zaman pra-penubuhan parti PAN. Penulis menacap pandangan kepada seorang figura penting yang pernah menjadi sosok penting PAS peringkat nasional. Dr Rosli Yaakob bukan ahli biasa namun tokoh ini pernah berada dalam barisan Jawatankuasa PAS Pusat serta memimpin PAS Negeri Sembilan.
Ahli setia masjid dengan kebiasaan mengumam zikir ini bukanlah kaleng-kaleng insan. Dr Rosli di zaman puncak kegemilangannya adalah Pengarah Urusan Harakah, kolumnis ekonomi akhbar ini pernah menjalankan perniagaan antarabangsa di negara Bangladesh dalam bidang operasi ibadah haji.
Bagi generasi baru yang mula berkecimpung dalam medan siasah, mungkin tidak menyedari atau kurang mengenali Dr Rosli. Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini mendapat pendidikan tinggi di Universiti Malaya, seterusnya melanjutkan pengajian pasca siswazah di Universiti Wisconsin di Amerika Syarikat. Beliau berdoktorat dalam bidang ekonomi dengan tajaan biasiswa Bank Negara Malaysia.
Sosok dengan pencitraan pakar ekonomi negara ini terlibat dengan pelbagai kerjaya seperti pensyarah Universiti Malaya, Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Timbalan Pengarah Jabatan Ekonomi, Bank Negara Malaysia serta sebanjaran pengalaman dalam bidang ekonomi.
Penulis sudah lama mengenali beliau sebelum zaman bertembung dua kelompok dalam PAS (2013-2015). Pernah tiga kali menziarahi beliau di Dhaka, Bangladesh semasa beliau menggerakkan syarikat urusan haji di negara 160 juta penduduk itu. Semasa beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, kerap juga membantunya di negeri beradat itu dan kini beliau akan kembali berpencak.
Penglibatan anak Rembau ini dalam lahan politik juga sangat luas walaupun tendensi beliau dalam bidang dakwah. Pertama kali bertanding di DUN Linggi dalam PRU 1999 menentang calon BN, seterusnya bertanding untuk kerusi Parlimen Jelebu dalam PRU 2004 dan juga untuk DUN Paroi. Beliau hampir memenangi DUN Klawang pada tahun 2013 dengan merengkuh hampir 49 peratus undian pengundian.
Semasa krisis PAS 2015, beliau agak menyepikan diri. Pada tahun 2017 beliau memilih untuk bersama PAN namun tidak sekali kelihatan beliau memburukkan pimpinan dan jamaah PAS. Penulis juga merasa kepelikan dengan sahabat yang pernah bermusafir ke Tonggi ini namun hati yang paling dalam sentiasa mendoakan agar beliau berpatah balik dalam kasih sayang jamaah PAS.
Terbayang penulis, seorang lelaki separuh baya yang gemar berserban dalam penampilan seperti lebai kampungan, memberikan masa sejam sebelum subuh untuk membaca al-Quran, sentiasa bersedekah dan solat berjemaah tanpa gagal serta citra PAS Tabligh pada sosok ini. Mustahil akhlak sebegini akan kekal dengan PAN yang setia mentaksubi seluruh arahan DAP!
Terbayang-bayang dalam ruang fikir penulis, sebelum PRU-14 akan kawan-kawan lama yang meninggalkan PAS. Kawan-kawan so-called profesional telah mentertawakan kenyataan Presiden PAS bahawa parti Islam ini akan menjadi king maker dalam politik Malaysia. Namun, hari ini mulut kalian terkunci dan tersipu malu, PAS pernah menjadi rakan kongsi kerajaan Persekutuan dan sedang memimpin tiga buah kerajaan Negeri. Juga sebagai pemain utama dalam Parlimen, pemberdayakan usaha kolektif untuk melawan kerajaan Madani yang sangat tempang. Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi tetap menjadi tarikan pesona terbesar gelombang parti pembangkang walaupun diremehkan oleh PAN lebih sedekad lalu.
Selama di tampuk dan koridor kuasa, masyarakat Islam negara ini melihat betapa lemahnya pemimpin PAN menjaga Islam dan umat Islam. Mereka seolah-olah rubber stamp house kepada pemimpin-pemimpin DAP, pola simbiosis ini difahami kerana latar sejarah penubuhan mereka sejak 2015. Sejak mereka berkuasa lagi, disedari sedikit demi sedikit bekas penyokong PAS dalam PAN mula tawaquf dalam aktiviti kerajaan PH dan mula bertanya khabar untuk pulang bersama PAS.
Ramai yang tersedar budaya berorganisasi PAS tidak sama dengan mana-mana parti atau NGO. PAS bukan sekadar memburu kuasa untuk melaksana dan menjaga Islam namun program amal tarbawi yang berjalan kepada ahli-ahli mereka. PAS adalah wadah umat yang cintakan Islam, ahli dan pimpinannya berhujan panas dan berembun untuk menjayakan setiap program dan agenda jamaah.
Setahun ini, mulai ramai penyokong serta pendokong PAN menyertai DAP dan PKR kerana tarikan koridor kuasa malah terkini mengintai pula peluang pada parti BERSAMA kerana ketidakpuashatian terhadap kegagalan agenda reformasi PMX dan kerajaan Madani.
Ayuh kawan-kawanku, ahli-ahli PAN semua! Pintu harakatul ummah ini terbuka buatmu, kami tidak menutup pintu buat kalian. Jangan merasa malu dan tertampar kecewa melihat tingkah pemimpin-pemimpin kalian. Pintu markas tarbiah tetap ceria dengan program usrah, iftar jamaie, liqa fikri dan pelbagai jenis program. Jom, bersamalah derapan langkah suluhan Rabbani Dr Rosli Yaakob! Kalian belum terlewat untuk berubah.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 18/6/2026











