
TANGGA BATU: Semua dewan dan lajnah dalam PAS harus sama-sama mencari idea dan bekerja untuk menjadi jambatan penghubung sesama kaum.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, ia penting untuk menjelaskan kepada mereka tentang Islam yang sebenar yang diperjuangkan PAS.
Menurut beliau, sekiranya intipati Islam tidak diperkenalkan kepada masyarakat bukan-Islam, ia sama seperti pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’.
“Bila kita terangkan apa itu Islam yang sebenar; bagaimana sebenarnya Islam memberikan keadilan kepada semua kaum; menguruskan pentadbiran negara ini mengikut kehendak Islam,
“Insya-Allah saya yakin dan percaya ramai masyarakat di luar sana akan boleh terus menerima PAS secara perlahan-lahan. Insya-Allah,” katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Perak.
Tambah beliau, selain lajnah-lajnah dan dewan-dewan yang ada, kewujudan Dewan Pendukung PAS adalah antara yang memainkan peranan sangat penting dalam hal ini.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan program forum ‘Sepetang Bersama 3 Budaya’ yang berlangsung di sebuah resort di Pantai Puteri, di sini baru-baru ini.
Dr Najihatussalehah dalam ucapannya turut berharap agar program dialog tersebut mampu melebarluaskan lagi kefahaman Islam ke dalam masyarakat.
“Dan kita faham Islam yang kita bawa ini tidak kita paksakan kepada masyarakat bukan Islam. Tetapi kita bagi tawaran dan kita terangkan dan kita adalah ejen penerangan bagi Parti Islam Se-Malaysia PAS,” ujarnya.
Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hawa Yaakub pula berkata, program tersebut dirangka bagi menonjolkan keindahan kepelbagaian budaya ini telah diserikan dengan kehadiran dan sokongan masyarakat berbilang kaum.
”Kita menganjurkan program ini bertujuan untuk memupuk kebersamaan, persefahaman, dan rasa hormat-menghormati antara pelbagai parti politik dan kaum.
“Selain itu program ini juga serampang dua mata untuk mengumpul dana jentera Penerangan Dewan Muslimat PAS Melaka dalam menghadapi pilihan raya yang akan berlaku bila-bila masa sahaja,” katanya.
Beliau turut menzahirkan kesyukuran atas sambutan sangat menggalakkan bagi program tersebut yang unik kerana mengetengahkan tiga budaya utama rakyat Malaysia.
Menurut Hawa, program itu juga diharapkan dapat menangkis tohmahan bahawa PAS adalah parti yang anti masyarakat berbilang kaum.
Forum tersebut turut menampilkan beliau sendiri selaku moderator, manakala panel terdiri daripada Dr Najihatussalehah; Pegawai Khas Pejabat Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Shawn Loh Sheng Nian dan Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Turut hadir pimpinan GERAKAN dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Melaka. – HARAKAHDAILY 18/6/2026











