Datuk Zaid Ibrahim sertai PAS wajar dinilai objektif

- Advertisement -

HULU LANGAT: Keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyertai PAS mengundang pelbagai reaksi, namun tindakan itu wajar dinilai secara lebih objektif dan tidak hanya berdasarkan perbezaan pendirian politik lampau.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, persoalan utama perlu diberi perhatian bukanlah sama ada Zaid pernah tidak sehaluan dengan PAS, sebaliknya mengapa tokoh berpengalaman itu memilih untuk bersama PAS ketika ini.

Menurutnya, Zaid bukan individu asing dalam landskap politik dan perundangan negara kerana telah terlibat dalam pelbagai perbahasan penting berkaitan Perlembagaan, undang-undang serta pentadbiran negara sejak sekian lama.

“Datuk Zaid Ibrahim mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan, bidang guaman dan kehidupan awam. Beliau juga dikenali sebagai seorang pemikir bebas yang berani mempertahankan prinsip walaupun berdepan tekanan politik,” katanya.

Nushi berkata, antara tindakan mencerminkan prinsip tersebut ialah keputusan Zaid meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada September 2008 sebagai membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap individu yang ditahan tanpa perbicaraan.

Katanya, ketika berada dalam kerajaan, Zaid turut memainkan peranan penting dalam memperjuangkan pembayaran ex-gratia kepada Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas dan hakim yang terkesan akibat krisis kehakiman 1988.

“Langkah itu mencerminkan komitmen beliau terhadap keadilan dan integriti institusi negara. Apa yang tidak boleh dinafikan ialah beliau memahami undang-undang, memahami Perlembagaan dan memahami institusi yang mentadbir negara ini,” ujarnya.

Menurut Nushi yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, keputusan Zaid menyertai PAS juga perlu dilihat dalam konteks persepsi sering dilemparkan terhadap parti itu selama ini.

Katanya, PAS sering digambarkan oleh pengkritik sebagai parti yang tidak mampu berfungsi dalam kerangka Perlembagaan negara atau tidak memahami realiti pentadbiran moden serta masyarakat majmuk.

“Namun, seorang tokoh yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya berurusan dengan realiti tersebut kini memilih untuk bersama PAS. Mungkin beliau melihat sesuatu yang terlepas pandang oleh ramai pihak.

“Mungkin beliau melihat kesungguhan PAS dalam memperjuangkan integriti, keadilan dan proses demokrasi yang tidak selalu diakui oleh pengkritiknya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih.

Beliau berkata, rakyat berhak untuk tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, namun tidak wajar meremehkan perjalanan panjang seorang tokoh yang telah menyumbang dalam bidang perundangan dan kehidupan awam hanya berdasarkan label politik atau stereotaip kepartian.

“Perjalanan politik Datuk Zaid Ibrahim tidak pernah dibentuk oleh kesetiaan membuta tuli kepada mana mana parti. Sebaliknya, ia dipandu oleh pencarian berterusan terhadap idea, institusi dan wadah yang diyakini mampu menyumbang kepada Malaysia yang lebih baik.

“Pencarian itu kini membawanya kepada PAS,” tegasnya susulan penyertaan rasmi Zaid yang menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS dalam satu majlis di Seremban, 14 Jun lalu.

Majlis itu turut menyaksikan penyertaan 14 lagi tokoh politik dan profesional daripada pelbagai latar belakang yang memilih untuk bersama PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.

Menurut Nushi, jawapan kepada persoalan mengapa seorang tokoh berpengalaman seperti Zaid memilih PAS mungkin dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai parti itu serta hala tuju politik negara pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -