PASTI semakin subur di Sabah

- Advertisement -

TAWAU: PASTI di seluruh Sabah semakin subur sehingga kini telah menjangkau lebih 130 buah cawangan.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, ini kerana PASTI semestinya sentiasa mengutamakan modul pendidikan yang terbaik.

Menurutnya, pendidikan yang diterapkan dalam PASTI menitikberatkan pembinaan sahsiah, akidah, ibadah dan akhlak anak seawal usia 4, lima dan enam tahun.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Temasya Sukaneka Tahunan PASTI Tawau di Padang Perbandaran Tawau dekat sini, kelmarin. (Foto atas)

“Penganjuran program seumpama ini bukanlah sekadar riadah biasa, ia merupakan medan yang membawa rahmat serta keberkatan daripada Allah dalam usaha membentuk generasi Islam yang sihat dan cerdas,” katanya yang juga ADUN Karambunai.

Tambahnya, dengan kehadiran alumni PASTI dalam kalangan masyarakat hari ini membuktikan lagi kejayaan institusi itu melahirkan generasi soleh dan solehah yang mempunyai akidah dan akhlak yang baik.

Sementara itu, pelbagai diadakan sepanjang program itu berlangsung antaranya acara perbarisan, tarik tali, lari 40 meter bagi kategori pelajar empat tahun, lari 50 meter bagi kategori lima dan enam tahun, baling bola ke dalam bakul dan lain-lain.

Turut mencuri tumpuan dalam sukaneka itu ialah acara tarik tali bagi kategori bapa dan balingan penalti bagi kategori ibu memeriahkan suasana.

Pada sukaneka yang disertai 27 buah PASTI itu, PASTI Nurul Jannah, Tanjung Batu Darat muncul johan keseluruhan manakala PASTI Nurul Najah, Taman Megah Jaya dan PASTI Nurul Nafeesa, Megah Jaya 9 sebagai naib johan dan tempat ketiga. – HARAKAHDAILY 16/6/2026

- Advertisement -