
KUALA LUMPUR: Peningkatan penyertaan golongan profesional ke dalam PAS membuktikan perjuangan parti itu semakin diyakini dan diterima pelbagai lapisan rakyat, kata Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin.
Menurut beliau, perkembangan tersebut bukan sahaja menambah jumlah keahlian parti, malah membawa bersama kepakaran, pengalaman dan idea baharu yang mampu memperkukuhkan peranan PAS dalam pentadbiran serta pembangunan negara.
“Apabila semakin ramai golongan profesional memilih untuk bersama PAS, ia memberi petunjuk bahawa perjuangan PAS semakin diyakini. Ia juga menunjukkan kepakaran dalam parti semakin bertambah.
“PAS diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat dan semakin bersedia menawarkan pentadbiran yang kompeten,” ujarnya menerusi perkongsian di laman sosial.
Beliau berkata, kemasukan golongan profesional turut meningkatkan kapasiti dan kompetensi PAS dalam menawarkan pentadbiran yang berkesan serta memenuhi keperluan rakyat.
Tambahnya, perkembangan itu membuktikan bahawa politik yang berteraskan nilai, integriti dan prinsip masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Ini bukan sekadar pertambahan ahli, tetapi pertambahan idea, pengalaman dan tenaga untuk membina masa depan negara yang lebih baik, Insya-Allah,” ujarnya.
Hanif berharap momentum penyertaan golongan profesional ke dalam PAS dapat terus diperkukuhkan bagi memperluaskan sumbangan parti kepada masyarakat dan negara.
PAS menerima suntikan baharu apabila 14 tokoh daripada pelbagai latar belakang mengumumkan penyertaan mereka pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Antara tokoh yang menyertai PAS ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim dan bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek.
Juga bekas Setiausaha Sulit kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman dan bekas EXCO Kerajaan Negeri Perak yang juga bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Hamidah Othman serta bekas Pengerusi PAN Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakup.
Selain bekas Pengerusi Kelab Umno Manchester, Dr Md Nizam Baharom dan bekas perancang bandar Negeri Sembilan, TPr Lokman Omar serta bekas Pengerusi FINAS dan Naib Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Prof Mohd Nasir Ibrahim.
Termasuk antaranya Pengerusi BARA Malaysia, Anas Iman Sudin serta bekas Naib Ketua Pemuda Umno Padang Serai, Saiful Adli Saiful Ridzuan dan bekas Setiausaha Umno Ketereh, Datuk Ahmad Tarmizi Musa.
Juga bekas EXCO Pemuda Umno Malaysia, Mostafa Shah Abdul Hamid dan Datuk Muqorrobin Mokhtaruddin yang dikenali sebagai pendaki Gunung Everest; Harfitiri Mohd Dahlan yang juga bekas EXCO Pemuda Umno Bahagian dan Azlan Johar, bekas pemain bola sepak kebangsaan serta Selangor yang kini aktif sebagai pengulas sukan.
Penyertaan tokoh berkenaan dilihat menambah kekuatan PAS dengan kehadiran individu berpengalaman dalam bidang politik, pentadbiran, akademik, pendidikan, sukan dan aktivisme masyarakat. – HARAKAHDAILY 15/6/2026











