
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah memberikan jaminan tidak akan sesekali mencampuradukkan sentimen fahaman politik dalam sebarang bentuk kerjasama demi memastikan kelangsungan pembangunan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pintu pentadbiran negeri sentiasa terbuka untuk memberikan ruang serta laluan kepada pelaksanaan projek-projek penting demi kelancaran aktiviti pasaran dan perniagaan.
Beliau selaku pemimpin nombor satu negeri menegaskan, perbezaan ideologi politik seharusnya bergerak di atas landasan tersendiri tanpa mengganggu-gugat pertumbuhan sektor komersial yang menjadi nadi kemakmuran rakyat.
“Fahaman politik bergerak di medannya sendiri dan tidak boleh dicampur aduk kedua-duanya,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-90 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Kedah (KCCCI).
Beliau selaku pemimpin politik daripada PAS yang didakwa pihak tertentu kononnya berjurang dari masyarakat Cina, turut merai Ulang Tahun Ke-14 Bahagian Belia pada majlis itu di Frazel Expo and Convention Hall, di sini malam tadi.
Kedah di bawah pimpinan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhammad Sanusi kini giat memacu beberapa projek mega bertaraf global dan impak tinggi di seluruh negeri itu walaupun dikekang politik Kerajaan Pusat.
Dalam usaha merealisasikan matlamat sebagai negeri industri yang turut tidak meminggirkan sektor pertanian dan alam sekitar, peranan dewan-dewan perniagaan bukan Melayu seperti KCCCI amat kritikal sebagai jambatan pelaburan domestik.
Kehadiran Sanusi ke program komuniti Tionghua ini dilihat langkah strategik membina keyakinan pelabur swasta tempatan, sekali gus menepis persepsi kononnya pentadbiran berasaskan blok Melayu-Islam mengetepikan kepentingan ekonomi masyarakat bukan Bumiputera.
Menteri Besar itu pada majlis berkenaan mendapat sambutan yang amat mesra dan memberangsangkan di mana rata-ratanya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan bersama.
Penghormatan yang diberikan oleh KCCCI itu mencerminkan keakraban hubungan, selain membuktikan pendekatan Sanusi disenangi oleh semua bangsa dan kaum yang bangga menjadi penyumbang kemajuan ekonomi Kedah.
Sebagai mewakili Kerajaan Negeri Kedah, Sanusi turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian KCCCI dan menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama merentasi sempadan politik, agama, mahupun kaum.
Untuk rekod, KCCCI yang ditubuhkan sejak era 1930-an telah memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi negeri Kedah.
Selain menjadi pemangkin pertumbuhan sektor perdagangan dan perindustrian sepanjang sembilan dekad penubuhannya, dewan itu juga berfungsi menyatukan komuniti perniagaan Cina bagi menghubungkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan korporat.
Sanusi dalam majlis sama turut menarik perhatian mengenai realiti sektor korporat kini di mana sebahagian besar perniagaan serta projek ekonomi utama masih diusahakan oleh generasi terdahulu yang kini telah meningkat usia.
Sehubungan itu, beliau menekankan pentingnya penglibatan golongan pelapis yakni dalam kalangan anak muda belia tanpa mengira latar belakang atau kaum bagi meneruskan legasi ekonomi yang sedia ada.
“Saya mengharap Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Kedah (KCCCI) ini dapat dirancang untuk membina generasi ketiga yang boleh menyambung kesimbungannya.
“Usaha-usaha yang telah dilakukan oleh orang tua-tua ini, perlu dipelihara agar berterusan dan bertambah maju, Insya-Allah,” tambah beliau lagi.
Majlis penuh gilang-gemilang itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Persekutuan, Steven Sim Chee Keong.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO Kedah, Wong Chia Zhen; Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng; serta Presiden KCCCI, Dato’ Ang Saik Cheong. – HARAKAHDAILY 14/6/2026













