Ekonomi perlu sejahterakan rakyat, bukan hanya KDNK naik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang mencatatkan pertumbuhan melebihi 5 peratus serta kelulusan pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit, namun masih gagal diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.

Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, status negara maju tidak sepatutnya diukur berdasarkan paparan angka statistik di dalam laporan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi keupayaan majoriti domestik mendepani kos sara hidup.

Beliau menjelaskan bahawa struktur ekonomi negara ketika ini dilihat mengalami kepincangan serius memandangkan pengagihan manfaat daripada pertumbuhan ekonomi tidak berlaku secara saksama sehingga mencetuskan jurang pendapatan ketara.

“Kerajaan sering menonjolkan pertumbuhan ekonomi sebagai bukti kejayaan dasar Ekonomi Madani. Namun di lapangan, ramai rakyat masih berdepan pelbagai cabaran. Anak muda semakin sukar memiliki rumah pertama.

“Graduan universiti semakin ramai bekerja dalam pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka dan golongan pertengahan semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat. Perkembangan ini jelas menunjukkan struktur ekonomi negara pincang.

“Jika ekonomi berkembang tetapi rakyat masih bergelut untuk membina masa depan yang lebih baik, maka sudah tiba masanya negara menilai semula pendekatan pembangunan yang digunakan,” katanya Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu.

Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia itu menegaskan bahawa masalah utama ekonomi Malaysia pada masa kini bukanlah isu pertumbuhan, melainkan ketidakcekapan dalam aspek pengagihan hasil kekayaan negara.

“Hakikatnya, rakyat tidak hidup di dalam angka KDNK. Rakyat hidup dalam realiti harga barang di pasar, bayaran ansuran rumah, kos pendidikan anak-anak, bil elektrik, sewa rumah dan kos rawatan kesihatan yang perlu ditanggung setiap bulan.

“Sebab itulah pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak boleh dijadikan kayu ukur tunggal dalam menentukan kejayaan pembangunan negara. Negara yang hebat bukanlah negara yang mempunyai angka ekonomi yang besar semata-mata.

“Tetapi negara yang mampu memastikan kemakmuran itu sampai kepada rakyat biasa,” jelas beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Kedah.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar Malaysia menetapkan penunjuk ukuran kejayaan baharu yang lebih dekat dengan kehidupan harian masyarakat dengan mempertimbangkan tujuh perkara.

“(Iaitu) Berapa ramai rakyat mampu membeli rumah? Berapa ramai graduan mendapat pekerjaan berkualiti? Berapa tinggi pendapatan median isi rumah? Berapa ramai keluarga mempunyai simpanan yang mencukupi?

“(Juga) Berapa ramai anak keluarga miskin berjaya memasuki universiti dan mengikuti program kompetitif hingga mampu mengeluarkan keluarga dari kemiskinan? Berapa tinggi tahap keterjaminan makanan negara? Dan berapa besar peluang ekonomi yang tersedia di seluruh negeri?” ujarnya.

Bagi membina sistem ekonomi yang mensejahterakan rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu juga menggariskan enam langkah reformasi strategik perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan.

Pertama, revolusi pendapatan rakyat dengan memastikan pendapatan rakyat meningkat lebih pantas daripada kos sara hidup melalui pengenalan dasar gaji sejahtera yang setimpal dengan peningkatan produktiviti pekerja.

Kedua, menjadikan Malaysia kuasa teknologi tinggi dengan menghentikan kebergantungan kepada model ekonomi kos rendah dengan menerajui sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, bioteknologi, dan pusat data bagi menjamin pemindahan teknologi serta peluang kerja bergaji tinggi.

Ketiga, modal insan berprestasi tinggi menerusi pemerkasaan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama landasan kerjaya menerusi jaminan kualiti dan kerjasama industri.

Keempat, memperkasa dengan ca4a embantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada automasi, pendigitalan, dan akses pasaran global bagi memberikan impak langsung kepada pendapatan rakyat berbanding tumpuan kepada projek mega.

Kelima, menjamin sekuriti makanan negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan asing melalui pengenalan pertanian moden, teknologi agrikultur, dan pembangunan agro-industri berskala besar.

Keenam, membangunkan semua wilayah secara seimbang di mana menjadikan negeri-negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan baharu bagi merapatkan jurang ekonomi wilayah.

Beliau merumuskan bahawa kerajaan yang hebat seharusnya mampu mewujudkan mobiliti sosial yang membolehkan anak-anak daripada keluarga miskin, golongan petani, nelayan, mahupun pekerja kilang untuk meningkatkan taraf hidup merentasi pencapaian generasi terdahulu.

“Daripada ekonomi yang terlalu menumpukan kepada statistik dan angka, kepada ekonomi yang benar-benar mengangkat martabat rakyat. Daripada ekonomi yang mengukur kejayaan melalui saiz KDNK, kepada ekonomi yang mengukur kejayaan melalui kesejahteraan rakyat.

“Kerana pada akhirnya, sejarah tidak akan mengingati berapa besar angka pertumbuhan ekonomi yang pernah dicapai oleh sesebuah kerajaan.

“Sebaliknya, sejarah akan mengingati sama ada rakyat hidup lebih baik, lebih sejahtera dan lebih bermaruah hasil daripada dasar yang dilaksanakan.

“Malaysia tidak memerlukan ekonomi yang hanya membesarkan angka. Malaysia memerlukan ekonomi yang membesarkan rakyat,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -