Penyatuan tak boleh bersifat eksklusif, dibatasi kelompok

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU bukanlah soal memilih kawan atau lawan, sebaliknya pertimbangan sama ada sesuatu itu mampu membawa manfaat kepada Islam, umat dan negara.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, PAS sejak dahulu tidak pernah teragak-agak membuat keputusan politik yang sukar apabila melibatkan soal prinsip perjuangan parti.

- Advertisement -

Menurut beliau, pengalaman PAS bersama Pakatan Rakyat menjadi bukti parti itu sanggup meninggalkan gabungan politik apabila agenda Islam, pelaksanaan syariah dan kedudukan PAS sebagai parti Islam mula dipertikaikan oleh rakan-rakan koalisi.

“Keputusan itu bukan keputusan yang mudah, tetapi prinsip tidak boleh dikompromi demi kelangsungan sebuah gabungan politik,” ujarnya dalam satu ulasan.

Beliau berkata, pendirian sama diteruskan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila parti itu memilih untuk bergerak secara bersendirian walaupun ramai pihak meragui kemampuan untuk bertahan tanpa menyertai mana-mana gabungan besar.

Katanya, PAS ketika itu memilih untuk meletakkan Islam sebagai keutamaan dan berhadapan dengan rakyat berasaskan kekuatan sendiri.

“Sejarah membuktikan bahawa pendirian yang berasaskan prinsip lebih bernilai berbanding keuntungan politik jangka pendek,” ujarnya yang merupakan seorang pengamal undang-undang.

Mengulas mengenai kewujudan Perikatan Nasional (PN) beliau berkata, gabungan itu telah membuka lembaran baharu dalam politik negara dengan menampilkan ramai tokoh yang bersih, berintegriti serta mempunyai rekod pentadbiran baik.

Menurut Dr Yusfarizal, dalam tempoh yang singkat, PN berjaya menunjukkan bahawa politik yang lebih sederhana dan berorientasikan rakyat mampu menjadi alternatif kepada politik lama di mana sering dibelenggu konflik.

Bagaimanapun katanya, cabaran terbesar sesebuah gabungan politik bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi mengekalkan kepercayaan antara rakan-rakan dalam gabungan.

“Apabila perebutan pengaruh dan percaturan kuasa mula mengatasi matlamat bersama, keretakan pasti berlaku. Hubungan politik tidak akan kekal kukuh jika asas kepercayaan semakin terhakis,” katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, agenda Penyatuan Ummah perlu dijadikan keutamaan dalam landskap politik kerana ia bukan slogan politik bermusim, sebaliknya merupakan satu keperluan strategik bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan negara.

“Umat Islam yang terus berpecah akan melemahkan kestabilan politik dan menyukarkan usaha membangunkan negara secara berkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha penyatuan yang ikhlas tidak boleh bersifat eksklusif atau dibatasi oleh kepentingan individu, kelompok mahupun parti tertentu.

Sebaliknya kata beliau, ia perlu terbuka kepada semua pihak yang benar-benar mahu melihat umat dan negara berada dalam keadaan lebih kuat, stabil dan sejahtera.

Dalam pada itu, Dr Yusfarizal mengingatkan bahawa sebarang kerjasama politik perlu menghormati peranan akar umbi serta jentera parti yang selama ini menjadi tulang belakang perjuangan.

Menurutnya, politik yang hanya dirancang oleh kelompok elit tanpa mengambil kira suara serta pengorbanan petugas di lapangan akhirnya akan kehilangan kekuatan.

“Akar umbi bukan sekadar pelaksana keputusan, tetapi merupakan sebahagian daripada kekuatan sesebuah perjuangan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS.

Beliau berkata, PAS mempunyai pengalaman luas sama ada bergerak secara bersendirian, berada dalam gabungan politik mahupun mentadbir kerajaan.

“PAS sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang timbul daripada perubahan landskap politik semasa. Kekuatan PAS tidak bergantung kepada mana-mana satu formula politik, tetapi kepada prinsip perjuangannya,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa budaya syura, wala’ dan ketaatan kepada keputusan jamaah akan terus menjadi pegangan utama PAS.

Katanya, setiap keputusan yang dibuat secara kolektif oleh pimpinan tertinggi parti selepas melalui proses pertimbangan sewajarnya perlu dihormati dan didukung oleh seluruh saf perjuangan.

Dr Yusfarizal turut menegaskan bahawa persoalan sebenar bukanlah sama ada PAS bersama atau berpisah dengan mana-mana pihak, sebaliknya sama ada sesuatu langkah politik itu mampu membawa umat lebih hampir kepada perpaduan.

“Jika ia membuka ruang yang lebih luas kepada penyatuan, kestabilan dan masa depan yang lebih baik untuk negara, maka itulah jalan yang selari dengan perjuangan PAS.

“Kerana bagi PAS, kuasa bukan matlamat. Kuasa hanyalah wasilah. Matlamatnya tetap sama iaitu memartabatkan Islam, menyatukan umat dan membina negara yang lebih sejahtera,” katanya.

Terdahulu, PAS malam kelmarin memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU.

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS berasaskan prinsip Penyatuan Ummah. – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -