Bantuan dihulur: Mangsa kebakaran diseru sabar, syukur

Mohd Nassuruddin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran.
- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyeru mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran di Kampung Gok Kampor supaya terus bersabar dan bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa berlaku dalam tragedi tersebut.

Beliau berkata, walaupun musibah itu menyebabkan kerugian harta benda, namun semua mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada kejadian yang lebih buruk.

- Advertisement -

Menurut beliau, segala yang dimiliki manusia hakikatnya milik Allah SWT dan setiap ujian yang diturunkan mempunyai hikmah tersendiri.

“Allah memberi pelbagai bentuk ujian kepada manusia. Rasa takut yang ditimpakan hanya sedikit berbanding banyak nikmat ketenangan yang Allah kurniakan selama ini.

“Begitu juga dengan kelaparan yang hanya sedikit berbanding nikmat kenyang yang sentiasa diberikan Allah. Harta yang diambil juga sedikit berbanding begitu banyak rezeki yang telah dikurniakan kepada kita,” katanya ketika menziarahi mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Gok Kampor, semalam.

Nassuruddin berkata, mangsa juga perlu bersyukur kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri dan tidak berlaku kematian dalam kejadian itu.

“Kadang-kadang Allah menguji dengan kehilangan nyawa apabila mangsa tidak sempat menyelamatkan diri. Namun dalam kejadian ini semuanya sempat keluar dan selamat
.
“Sebab itu kita perlu bersyukur dan bersabar. Jika tidak, kita sukar menerima qada dan qadar Allah serta terus mempersoalkan mengapa sesuatu musibah itu berlaku,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan rasa simpati kepada mangsa yang terkesan dan menyalurkan bantuan awal menerusi Tabung Serambi Mekah.

Tambahnya, usaha mendapatkan bantuan tambahan akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkaitan termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Dato’ Dr Izani Husin berkata, bantuan tambahan sedang digerakkan termasuk sumbangan peribadi dan kutipan menerusi tabung khas kebakaran.

Menurutnya, beliau telah menyumbang RM10,000 secara peribadi selain bantuan kepada keluarga terlibat serta membuka tabung khas yang akan beroperasi selama sebulan bagi mengumpul sumbangan orang ramai.

“Insya-Allah kita akan tengok jumlah terkumpul dan akan agihkan kepada mangsa sebagaimana bantuan yang pernah disalurkan sebelum ini. Orang ramai juga dilihat tampil menghulurkan sumbangan dengan sangat baik.

“Berdasarkan maklumat awal pihak bomba, sebanyak 27 buah rumah terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -