
KOTA BHARU: Bapa kepada pelajar, Nik Alif Aiman Ariffahmi yang terlibat dalam kontroversi membabitkan seorang bekas Ahli Dewan Negara baru-baru ini melahirkan rasa syukur apabila kemelut tersebut berjaya diselesaikan dalam suasana penuh silaturahim dan kemesraan.
Ir Ariffahmi Ab Rahman berkata, penyelesaian itu membuktikan setiap perselisihan boleh dirungkai melalui semangat ukhuwah serta keikhlasan semua pihak yang terlibat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana konflik ini berakhir dengan semangat silaturahim dan kemesraan.
“Perkara yang berlaku sebelum ini dapat diselesaikan secara baik tanpa menjejaskan hubungan sesama umat Islam,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurut Ariffahmi, sikap terbuka dan jiwa besar yang ditunjukkan bekas Ahli Dewan Negara berkenaan yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Beruas, Dato’ Dr Azhar Ahmad wajar diberikan penghargaan apabila sanggup hadir ke Kota Bharu bagi membantu menamatkan kemelut tersebut.
Nik Alif Aiman yang merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM adalah cucu kepada mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tambah Ariffahmi, pertemuan beliau dan Nik Alif Aiman dengan Dr Azhar yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu itu turut dihadiri anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang bertindak sebagai pemudah cara.
“Saya memuji Dato’ Dr Azhar kerana jiwa besarnya. Beliau sanggup datang ke Kota Bharu untuk mengakhiri kemelut bersama keluarga kami.
“Pertemuan itu berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekeluargaan,” ujar Ariffahmi.
Katanya, beliau gembira kerana penyelesaian tersebut berlaku ketika umat Islam dan orang Melayu di negara ini sedang bergerak memperkukuhkan agenda penyatuan ummah.
Menurut beliau, perpaduan dalam kalangan umat Islam perlu terus diperkasa bagi menghadapi cabaran semasa yang semakin mencabar.
Beliau turut menyifatkan Dr Azhar sebagai seorang yang mudah mesra dan tidak kekok bergaul dengan masyarakat.
Dalam pada itu, Ariffahmi berkata melalui Dr Azhar, beliau dan anaknya Nik Alif Aiman juga telah berpeluang berhubung menerusi panggilan telefon dengan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.
Katanya, Dr Azhar dan Dr Zamri turut menzahirkan rasa syukur atas perkembangan positif tersebut serta memberikan kata-kata semangat kepada keluarganya.
“Mereka menzahirkan rasa syukur dan menganggap anak saya seperti anak mereka sendiri,” katanya.
Tambah Ariffahmi, beliau berharap tiada lagi perkara berbangkit selepas ini dan semangat silaturahim yang terjalin hasil penyelesaian tersebut dapat dikekalkan.
“Semoga hubungan baik yang terjalin ini terus berkekalan dan menjadi contoh bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan hikmah, kasih sayang dan semangat persaudaraan,” katanya.
Sementara itu, Dr Azhar dan Nik Alif Aiman juga telah mengeluarkan kenyataan bersama bagi menamatkan salah faham yang berlaku sebelum ini. – HARAKAHDAILY 10/6/2026











