
SEMENJAK dahulu bila ada gabungan bersama, PAS sentiasa khianat, konon kata mereka. Tuduhan palsu yang sengaja diulang-ulang, supaya pembohongan itu dipercayai. Ini adalah strategi propaganda mereka.
Mudah sahaja mahu menepis serangan ini, hanya menggunakan sedikit fikiran yang waras, sepanjang masa ‘khianatnya’ PAS terhadap gabungan politik itu, tiada pula kita dapati mahkamah menjatuhkan hukuman atas salah laku terhadap PAS.
Atau PAS didapati merasuah, PAS curi duit rakyat, PAS tak bagi peruntukan secara adil, PAS tak bayar hutang negeri, PAS hentikan projek sakit yang mereka buat dulu, PAS amalkan kronisme. Atau pimpinan PAS ada 47 kes yang dijadikan bahan diugutan untuk diam tidak melawan. Tiada.
Tidak cukup dengan itu, PAS juga dikatakan mereka sebagai menunggang agama. PAS menggunakan segala dalil bagi membenarkan tindakan ‘khianat’ itu dan dalil yang lain ketika mahu bergabung dengan pakatan lain.
Namun walau dituduh menyeleweng dan menggunakan agama, PAS tidak pernah pula dijatuhkan hukuman oleh mahkamah mereka kerana sesat. Ulama PAS pula dibenarkan mengajar agama di banyak masjid, ulama PAS dipercayai seluruh dunia Islam, ulama PAS menulis buku-buku agama, ulama PAS dijemput menjadi panel dalam forum itu dan ini di seluruh negara.
Tetapi…
Yang kena tangkap… geng dia
Yang masuk mahkamah… geng dia
Yang amalkan kroni… geng dia
Yang tak bayar hutang… geng dia
Yang sekat peruntukan… geng dia
Yang baham projek… geng dia
Yang mungkir janji… geng dia
Yang persenda agama… geng dia
Semua itu melibatkan wang rakyat, kepercayaan rakyat, harapan rakyat yang dikhianati oleh mereka, musuh PAS yang menuduh PAS khianat itu.
Pelikkan?
Jangan pelik, sebab mereka sebenarnya takut dengan tindakan politik PAS yang tegas dan berani, pada kebiasaannya terbukti akan menghasilkan lebih banyak sokongan rakyat dan sekali gus kerusi DUN dan Parlimen.
Sebabnya mudah, PAS sewaktu bermesyuarat, memulakan dengan berdoa dan selepas membuat keputusan besar yang penting atau keputusan biasa mesyuarat, menggunakan akal dan fikiran oleh cerdik pandai dalam kepimpinan PAS dan dipandu oleh wahyu Allah. PAS melakukan istikharah untuk membuat keputusan.
Manakala mereka, musuh PAS yang sentiasa melaungkan PAS khianat itu, hanya menggunakan akal, sedangkan wahyu, mana yang untung sahaja yang mereka ambil. Tiada ruh Islam yang sebenar.
Bezakan?
Jadi kepada ahli dan penyokong PAS, jangan bimbang dan jangan terpengaruh dengan tuduhan khianat terhadap PAS itu kerana kita menyaksikan sendiri bagaimana PAS mentadbir negeri-negeri mereka, dengan amanah dan kejujuran mengikut acuan Islam.
Adapun pakatan politik hanyalah strategi yang mana dengan jelas PAS memberikan garis sempadannya, jika menguntungkan Islam, PAS akan teruskan dan jika merugikan Islam, PAS tidak akan teragak-agak memutuskannya. Sangat jelas.
Musuh PAS… ekor mereka bergelumang dengan najis, tapi masih kokoknya berderai-derai.
MOHD NASIR ABDULLAH
10 Jun 2026 – HARAKAHDAILY 10/6/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











