Umno-PH: Dari musuh politik kini menjadi sekutu kuasa

Masihkan rakyat mahu percaya mereka di PRU16

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia digesa untuk menilai semula kredibiliti serta konsistensi prinsip gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bakal menjelang.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Prof Dr Haim Hilman Abdullah
menegaskan, ia susulan tindakan mereka membentuk jajaran politik pasca-pilihan raya lalu yang dianggap mengorbankan janji kepada pengundi.

Katanya, tindakan pemusingan hala tuju politik oleh kepimpinan tertinggi parti-parti terbabit nyata telah mencetuskan kekecewaan, kekeliruan dan rasa dikhianati dalam kalangan penyokong akar umbi masing-masing.

Beliau menarik perhatian mengenai siri ikrar dan sumpah pemimpin sebelum pilihan raya yang menegaskan tidak akan sesekali menjalinkan kerjasama dengan musuh tradisi mereka, namun bertindak sebaliknya demi kelangsungan kuasa pentadbiran.

“Dalam konteks ini, rakyat berhak menilai kembali perjalanan politik negara selepas PRU15. Sebelum pilihan raya, rakyat disajikan dengan pelbagai kenyataan yang tegas daripada pemimpin-pemimpin politik.

“Ada yang berjanji tidak akan bekerjasama dengar lawan mereka contohnya Umno di mana presiden bersumpah dengan nama Allah untuk tidak berkerjasama dengan Presiden PKR dan DAP tetapi melakukan sebaliknya.

“Dalam hal ini mereka saling menuding jari dengan mengatakan lawan merupakan ancaman terbesar kepada negara. Ada yang menggelarkan pihak lain sebagai musuh politik yang mesti ditolak habis-habisan.

“Namun selepas keputusan pilihan raya diumumkan, rakyat menyaksikan sesuatu yang berbeza. PH iaitu PKR, DAP dan PAN yang menyerang dan menolak BN khususnya Umno habis-habisan.

“Begitu juga sebaliknya memilih untuk berada dalam satu gabungan pentadbiran yang sama,” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Kedah dalam satu tulisan, hari ini.

Lanskap politik tanah air pasca-PRU15 menyaksikan fasa baharu apabila tiada mana-mana gabungan parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Keadaan yang tergantung di peringkat Persekutuan akhirnya membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan PH, BN, serta blok penggabung dari Sabah dan Sarawak.

Jajaran ini mencetuskan polemik berpanjangan memandangkan sepanjang tempoh kempen pilihan raya, kedua-dua pihak secara agresif saling menyerang isu integriti dan ideologi antara satu sama lain.

Keadaan ini dijadikan naratif utama oleh blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) untuk menonjolkan diri sebagai wadah politik yang lebih konsisten dan berintegriti bagi menarik sokongan pengundi Melayu-Islam menjelang PRU16.

Naratif kempen songsang dari realiti

Dr Haim menjelaskan, penyokong PH asalnya digerakkan atas dasar menentang Umno berikutan isu tadbir urus dan skandal integriti, manakala penyokong Umno pula sekian lama diyakinkan bahawa DAP adalah ancaman utama mampu menjejaskan keharmonian negara.

Pertembungan matlamat ini menurut beliau, menimbulkan persoalan besar berhubung nilai sebenar sebuah janji politik dalam sistem demokrasi negara.

“Apabila kedua-dua kelompok ini akhirnya berada dalam satu kerajaan yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar penyokong mereka rasa dikhianati, kecewa dan keliru.

“Persoalannya bukan sekadar soal siapa bekerjasama dengan siapa, tetapi soal konsistensi prinsip dan kejujuran kepada rakyat. Politik yang sihat memerlukan keberanian untuk mempertahankan prinsip walaupun berdepan cabaran.

“Bukannya mengubah pendirian mengikut keperluan kuasa semata-mata,” jelas beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Susulan kemelut kepercayaan tersebut, beliau menyatakan bahawa PN didukung oleh PAS dan rakan gabungannya kini hadir sebagai alternatif terbaik yang menawarkan kestabilan serta tadbir urus bersih dan berkebajikan.

Beliau menambah, portfolio kepimpinan PAS di beberapa buah negeri sebelum ini telah membuktikan keupayaan parti berkenaan dalam menguruskan kewangan secara berhemah tanpa mengetepikan nilai moral.

“Sebagai sebuah gerakan Islam yang matang, PAS tidak pernah melihat politik semata-mata sebagai jalan mendapatkan kuasa. Politik bagi PAS adalah amanah untuk membangunkan negara.

“Memelihara keharmonian masyarakat majmuk dan memastikan setiap rakyat mendapat hak serta peluang yang sewajarnya. PAS percaya bahawa kemajuan ekonomi dan pembangunan material perlu bergerak seiring dengan pembangunan akhlak, integriti dan nilai kemanusiaan,” katanya lagi.

Beliau menyeru pengundi agar menggunakan kebijaksanaan pada pilihan raya akan datang bagi menentukan hala tuju generasi masa depan dan memberikan mandat kepada PN demi membina sebuah negara yang lebih berdaulat dan stabil. – HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -