
TEHRAN: Hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan gelombang serangan baharu peluru berpandu besar-besaran terhadap wilayah yang dicerobohi Israel, angkatan tentera Yaman mengumumkan bahawa mereka telah melepaskan peluru berpandu balistik ke arah wilayah yang sama pada pagi Isnin, meluaskan barisan hadapan Paksi Perlawanan (‘Axis of Resistance’) yang diselaraskan terhadap Israel.
Serangan Yaman itu dilaporkan telah memaksa rejim Zionis Israel menghentikan sepenuhnya semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion sambil mengaktifkan siren serangan udara di seluruh Tel Aviv dan Palestin tengah dan selatan yang dicerobohinya., menurut agensi berita Iran.
Menurut laporan media, peluru berpandu telah dilepaskan dari Yaman ke arah bahagian tengah wilayah yang diduduki.
Tambah laporan berkenaan, sistem pertahanan udara rejim mendakwa telah memintas projektil itu, tetapi serangan tersebut mencetuskan panik yang meluas, dengan siren berdentum di metropolis Tel Aviv dan wilayah sekitarnya.
Sehubungan itu, Komando Barisan Dalam Negeri Israel dilaporkan teleh mengeluarkan amaran segera kepada penduduk di kawasan tengah dan selatan untuk mencari perlindungan.
“Pihak berkuasa penerbangan Israel terpaksa menggantung semua ketibaan dan pelepasan di Ben Gurion akibat pelancaran peluru berpandu Yaman dan amaran keselamatan yang menyusul, menyebabkan gangguan besar kepada trafik udara dan mengasingkan rejim pendudukan dari udara dengan berkesan,” ujar laporan berkenaan.
Terdahulu, gerakan pejuang Ansarullah Yaman telah berulang kali menunjukkan keupayaan canggihnya, dengan jurucakap tentera Yahya Saree mengesahkan dalam operasi serupa bahawa serangan sedemikian adalah sebahagian daripada ‘jihad suci’ yang berterusan untuk menyokong rakyat Palestin, Lubnan dan Iran yang tertindas terhadap pencerobohan Amerika Syarikat-Israel.
Serangan terbaharu Yaman ke atas Israel itu berlaku susulan serangan peluru berpandu Iran ke wilayah yang dicerobohi Israel; sebagai tindak balas kepada serangan berterusan Israel ke atas Lubnan yang melanggar perjanjian gencatan senjata.
Angkatan tentera Iran melancarkan serangan peluru berpandu bertubi-tubi pada malam Ahad di wilayah yang dicerobohi Israel sebagai tindak balas kepada serangan berterusan Israel ke atas selatan Lubnan yang mana rejim Zionis dilihat sebagai telah melanggar gencatan senjata. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











