Konsep ihsan PMBI bukan hanya berkait ibadah khusus

- Advertisement -

KOTA BHARU: Konsep ihsan yang menjadi antara tunjang pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) bukan sekadar berkaitan ibadah khusus seperti solat, puasa dan zakat, namun merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk pentadbiran, pengurusan organisasi dan penyampaian perkhidmatan awam.

- Advertisement -

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, konsep ihsan merupakan antara teras utama tadbir urus Islam yang mampu melahirkan penjawat awam berintegriti, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ihsan ialah seseorang menyembah Allah SWT seolah-olah melihat-Nya dan jika tidak mampu melihat-Nya, maka hendaklah meyakini bahawa Allah SWT sentiasa melihat setiap perbuatannya.

“Dalam konteks tadbir urus, ihsan bermaksud melaksanakan amanah dengan penuh kesedaran bahawa setiap tindakan diperhati dan dinilai oleh Allah SWT.

“Ia melahirkan rasa tanggungjawab yang mendalam walaupun tiada siapa yang melihat atau memantau pekerjaan kita kerana Allah SWT sentiasa melihat,” katanya ketika berucap pada Majlis APC Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal; Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Zawawi Ghazali; dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rosnazli Amin.

Sehubungan itu, Nassuruddin menjelaskan bahawa penghayatan nilai ihsan akan mendorong penjawat awam bekerja bukan semata-mata kerana arahan ketua atau penilaian prestasi tahunan, sebaliknya kerana menyedari setiap tugas merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Budaya ihsan yang subur dalam sesebuah organisasi, ujar beliau, mampu menjadikan integriti sebagai budaya kerja sekali gus membantu mencegah ketirisan, mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan mengurangkan pembaziran.

“Rakyat pula akan menerima perkhidmatan yang lebih cekap, berkualiti dan berkesan.

“Inilah sebenarnya asas kepada konsep tadbir urus Islam yang sentiasa ditekankan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam,” katanya lagi.

Pada majlis sama, seramai 200 penjawat awam Negeri Kelantan menerima pengiktirafan menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai penghargaan terhadap prestasi, integriti dan komitmen dalam perkhidmatan.

Nassuruddin berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan peranan besar penjawat awam dalam menjayakan agenda pembangunan negeri serta memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Penjawat awam merupakan tulang belakang kepada kejayaan sesebuah kerajaan kerana segala dasar, perancangan dan inisiatif hanya dapat memberi manfaat apabila dilaksanakan dengan amanah, integriti dan profesionalisme.

“Dalam Islam pekerjaan bukan sekadar sumber rezeki, bahkan merupakan satu bentuk ibadah dan pengabdian kepada Allah SWT,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap amanah yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab berteraskan nilai ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan sebagaimana menjadi asas tadbir urus Kerajaan Negeri Kelantan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima APC 2025 dan berharap pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin untuk terus mengekalkan budaya kerja cemerlang serta menjadi contoh kepada rakan sekerja.

“Kerajaan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, malah turut menitikberatkan pembangunan modal insan yang berteraskan akhlak, integriti dan nilai ihsan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -