
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM280,000 bagi memperkasa pembangunan industri durian menerusi program inkubasi, pementoran serta bantuan kepada pekebun untuk meningkatkan pengeluaran durian premium.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM180,000 diperuntukkan bagi Program Inkubasi dan Pementoran Komuniti Durian Al-Falah, manakala RM100,000 lagi disalurkan kepada pekebun di bawah Persatuan Usahawan Durian Negeri Kelantan (PUDNK).
Menurutnya, program inkubasi itu dilaksanakan bersama Darulnaim Agro Management Industries Sdn. Bhd., Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), PUDNK dan Jabatan Pertanian Kelantan.
“Seramai enam peserta dibimbing secara berfasa sepanjang tahun 2023 hingga 2024 melibatkan pembangunan hampir 11.5 ekar tanaman durian premium,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kursus Hands-On Durian Unggul: Misi Hasil Tahun Ke-6 yang menghimpunkan pengusaha durian, agensi kerajaan dan pemain industri dari seluruh negeri.
Tambahnya, kursus berkenaan menjadi platform meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pekebun melalui pendekatan 30 peratus teori dan 70 peratus amali.
“Antara fokus kursus ialah pengurusan nutrisi, pembajaan, pengurusan bunga, kawalan perosak dan penyakit serta penghasilan durian premium yang berkualiti tinggi,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa bantuan kepada pekebun digunakan bagi menyokong keperluan input pertanian, penyelenggaraan ladang dan penggunaan mekanisasi.
“Diharapkan segala ilmu serta pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti dan menjadikan Kelantan antara pengeluar durian terbaik serta destinasi agropelancongan durian unggul negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











