
KANGAR: Kerajaan Negeri perlu memberi penjelasan berkaitan isu tadbir urus dan integriti dalam pelanjutan kontrak pegawai kanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang kini menjadi perhatian banyak pihak.
Asrul Aimran Abd Jalil (PN-Kayang) berkata, rakyat mempersoalkan bagaimana Kerajaan Negeri menilai aspek integriti, persepsi awam dan keyakinan masyarakat dalam keputusan pelantikan atau pelanjutan sesuatu kontrak.
Walaupun katanya beliau tidak berhajat untuk menyentuh mana-mana pihak berkaitan isu berkenaan, tetapi tiada sesiapa boleh dianggap bersalah sebelum mahkamah mengeluarkan keputusan yang muktamad.
“Mengapa sehingga kini tiada penjelasan rasmi diberikan kepada masyarakat dan adakah kerajaan bercadang memperkenalkan dasar integriti yang lebih jelas bagi jawatan strategik pada masa akan datang?
“Sama ada berkaitan kriteria, polisi atau garis panduan yang digunakan dalam penyambungan kontrak pegawai kanan PBT, juga faktor siasatan integriti serta persepsi dan keyakinan awam,” soal beliau.
Perkara tersebut diajukannya ketika mengambil bahagian pada ucapan ucapan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini minggu lalu.
Kata Asrul, menjadi satu keperluan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap dasar, inisiatif dan pencapaian sampai kepada pengetahuan rakyat serta difahami oleh seluruh lapisan masyarakat.
Ujarnya, kejayaan sesuatu perancangan bukan sahaja terletak pada pelaksanaannya, bahkan pada sejauh mana rakyat mengetahui, menghargai dan merasai manfaat yang terhasil daripadanya.
Sehubungan itu, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang itu, usaha memperkukuhkan penyampaian maklumat kepada rakyat perlu terus dipertingkatkan melalui pelbagai medium yang bersesuaian.
“Kerajaan Negeri perlu memanfaatkan platform media sosial sebagai saluran komunikasi rasmi yang pantas dan berkesan, selain penerbitan bahan bercetak seperti buletin atau laporan ringkas berkala juga wajar dipertimbangkan.
“Inisiatif itu bagi membolehkan maklumat berkaitan program, pencapaian dan dasar kerajaan dapat disebar luas hingga ke peringkat akar umbi,” tambah beliau.
Selain itu katanya lagi, dalam usaha merealisasikan aspirasi menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri pintar menjelang tahun 2030, perancangan rapi, tadbir urus cekap dan sistem pemantauan berkesan perlu menjadi keutamaan.
Sasaran itu jelas beliau, bukan sekadar memerlukan pembangunan fizikal, tetapi juga transformasi dari sudut ekonomi, perkhidmatan, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, beliau memohon pihak kerajaan menyatakan apakah perkembangan terkini berkenaan pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040.
Terutama ajunya, berkenaan pencapaian serta cabaran utama bagi memastikan sasaran pembangunan negeri dapat direalisasikan mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau juga mahukan penjelasan berkaitan pelaksanaan Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 khususnya dari aspek penyediaan infrastruktur digital.
Juga sistem penyampaian perkhidmatan awam secara pintar dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta kesejahteraan rakyat.
Selain itu, Asrul juga mengharapkan PBT mempunyai perancangan bagi memanfaatkan kedudukan Padang Besar yang strategik sebagai pintu masuk utama negara dan pusat aktiviti perdagangan sempadan.
“Apakah status kajian dan hala tuju pelaksanaannya PBT bagi kawasan Padang Besar?” soalnya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











