
AWAL pagi tadi, Republik Islam Iran telah melancarkan ‘pre-emptive strike’ atau serangan awal ke atas negara haram Israel berikutan pencabulan berterusan gencatan senjata oleh rejim penjajah Zionis Israel.
Dilaporkan tidak kurang 20 peluru berpandu balistik termasuk dron disasarkan ke atas negara haram Israel khususnya ke atas pangkalan tentera udara Ramat David yang menjadi ‘dalang utama’ serangan ke atas Selatan Lubnan serta Dahiyeh, Beirut pada Sabtu lalu.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam kenyataannya sejurus serangan dilancarkan menyatakan bahawa ia adalah amaran kepada rejim penjajah Zionis Israel agar mematuhi gencatan senjata dan menghentikan serangan serta pencerobohan ke atas Selatan Lubnan termasuk Beirut. IRGC turut memberi amaran keras jika tentera rejim penjajah Zionis Israel melancarkan serangan balas, serangan besar-besaran akan dilancarkan ke atas negara haram Israel.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika disoal media Amerika Syarikat mengenai serangan yang berlaku menyatakan bahawa rejim penjajah Zionis Israel tidak memberitahu Amerika Syarikat mengenai serangan tersebut.
Benjamin Netanyahu menyatakan kepada Donald Trump bahawa rejim penjajah Zionis Israel bercadang untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Republik Islam Iran, namun Donald Trump menyatakan Amerika Syarikat tidak mahu terbabit dalam serangan tersebut.
Media negara haram Israel mengesahkan bahawa tidak ada serangan balas bakal dilancarkan, namun jurucakap tentera rejim penjajah Zionis Israel (IDF) menyatakan bahawa IDF kini melakukan penilaian dan telah menetapkan serangan yang bakal dilancarkan pada masa akan datang.
Berikutan serangan tersebut, Republik Islam Iran, Iraq dan Syria telah menutup ruang udara negara masing-masing dan meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga di seluruh negara. Sehingga kini, tidak ada serangan balas oleh rejim penjajah Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran.
“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 8/6/2026











