
KOTA BHARU: Kelemahan pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar bas ekspres dikhuatiri menjejaskan keseimbangan pasaran serta mengurangkan pilihan pengguna kepada perkhidmatan mampu milik.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, isu sebenar industri ketika ini bukan pengkelasan Bas Ekspres Ekonomi dan Eksekutif, tetapi memastikan dasar yang diwujudkan kerajaan dilaksanakan secara berkesan.
Menurutnya, walaupun kerajaan mewartakan Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Penetapan Kategori Perkhidmatan Bas Ekspres) melalui PU(A) 206/2022, pengkelasan tersebut bukan hanya berdasarkan jumlah tempat duduk, sebaliknya turut mengambil kira spesifikasi perkhidmatan, tahap kemudahan, kapasiti penumpang dan nilai kepada pengguna.
Beliau menjelaskan bahawa setiap pengusaha pula mempunyai kebebasan menentukan strategi perniagaan sama ada berasaskan jumlah penumpang dan harga atau menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan lebih premium.
“Realitinya majoriti perkhidmatan dalam pasaran hari ini berada dalam kategori Eksekutif manakala kategori Ekonomi hanya mewakili sebahagian kecil pasaran.
“Dalam keadaan tertentu, kategori ‘eksekutif’ menawarkan tambang lebih rendah sehingga menjejaskan fungsi asal kategori yang diwujudkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, jika segmen ekonomi terus mengecil, pengguna berpendapatan rendah dan sederhana akan menjadi kumpulan paling terkesan.
Beliau juga berkata, industri juga sedang berdepan peningkatan kos operasi, perubahan corak permintaan pengguna, persaingan antara mod pengangkutan serta cabaran pemulihan pasca pandemik.
Menurut beliau, usaha pihak berkuasa memastikan setiap kategori perkhidmatan mematuhi syarat ditetapkan perlu disokong semua pemain industri.
“Dasar yang baik memerlukan pematuhan dan penguatkuasaan yang konsisten supaya persaingan berlaku secara adil serta pengguna terus dilindungi,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











