
KUALA KRAI: Pembinaan Masjid Mukim Sungai Bedal masih memerlukan kutipan derma dan sumbangan sebanyak RM3 juta lagi bagi menampung kos keseluruhan projek hampir RM5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Zubir Abu Bakar, berkata setakat ini dana yang berjaya dikumpulkan mencecah RM2 juta.
Menurutnya, pembinaan masjid yang bermula bulan lalu menunjukkan perkembangan baik dan kerja di tapak berjalan lancar.
“Bantuan, derma dan sumbangan masih amat diperlukan bagi menyiapkan masjid ini.
“Kita masih memerlukan dana sekitar RM3 juta lagi,” katanya selepas meninjau tapak pembinaan masjid berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa masjid baharu itu dijangka mampu menampung sehingga 600 jemaah dan siap dalam tempoh kira-kira satu tahun setengah.
Sehubungan itu, beliau turut merakam penghargaan kepada semua penyumbang serta mengajak orang ramai terus berinfaq bagi membantu menyiapkan pembinaan masjid berkenaan.
Sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun Bank Rakyat 11-0254401-0 atas nama Tabung Pembinaan Baharu Rumah Ibadat (TPDRI) Masjid Mukim Sungai Bedal. – HARAKAHDAILY 4/6/2026











