
KOTA BHARU: Sebanyak 45 jentera pengorek disita setakat ini dalam operasi membanteras perlombongan emas haram di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap kegiatan perlombongan tanpa kelulusan.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan kini memberi tumpuan di kawasan Lojing, Aring, Jeli dan Kuala Krai.
“Rampasan ini membuktikan kerajaan negeri bersama agensi penguat kuasa sentiasa mengambil tindakan terhadap aktiviti perlombongan haram.
“Kami juga menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa tidak tegas dalam menangani kegiatan tersebut,” katanya selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Beliau berkata, tindakan dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan dengan bantuan maklumat daripada Pejabat Tanah dan Galian.
Baru-baru ini, dua lelaki maut selepas tertimbus ketika dipercayai menjalankan aktiviti melombong emas secara haram di kawasan anak sungai berhampiran Ladang Sawit Jerimbong, Jeli. – HARAKAHDAILY 4/6/2026











