
KUALA LUMPUR: PAS menyeru semua parti politik Melayu-Islam dan Bumiputera di negara ini supaya segera mengetepikan perbezaan serta mencari titik persamaan demi menjamin kekuatan politik masa depan ummah dan kestabilan negara.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu perlu dijadikan titik tolak kepada satu gelombang perubahan yang mampu mengukuhkan semula kedudukan politik Melayu-Islam dan Bumiputera di negara ini.
Menurut beliau, perpecahan yang berlaku dalam kalangan parti-parti Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memberi kesan yang besar kepada kekuatan politik umat serta membuka ruang kepada pelbagai cabaran yang sedang dihadapi pada hari ini.
“Perpecahan parti politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan politik orang Melayu, termasuk kelompok-kelompok kecil, telah menyebabkan kita menerima kesan yang berlaku pada hari ini. Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur.
“Sudah sampai masanya semua pihak berfikir secara serius, berlapang dada, mengenepikan perbezaan dan meletakkan masa depan bangsa, agama serta ummah sebagai keutamaan,” katanya.
Politik tanah air kini tertumpu kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 selepas DUN negeri itu terbubar secara rasmi pada 1 Jun lalu, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Perkembangan itu berlaku ketika pelbagai pihak sedang menilai semula landskap politik negara, termasuk keperluan membentuk satu kesepakatan yang lebih kukuh dalam kalangan parti-parti Melayu-Islam bagi menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.
Tuan Ibrahim turut menggariskan beberapa isu utama yang menurut beliau memerlukan perhatian serius semua pihak, termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan cabaran terhadap enakmen syariah negeri-negeri.
Juga tindakan mempertikaikan institusi Raja-Raja Melayu serta beberapa perkembangan lain yang memberi kesan kepada kedudukan Islam dan orang Melayu dalam negara.
Menurut beliau, penyatuan politik Melayu-Islam perlu dibina atas asas yang jelas, iaitu mempertahankan agama, memelihara institusi negara serta menjamin kelangsungan masa depan generasi akan datang.
“Paksi utama ini mesti dijadikan asas dalam usaha penyatuan, agar generasi yang bakal menerajui politik Melayu pada masa depan mewarisi kekuatan akidah, akhlak dan pegangan agama yang kukuh.
“Sesuatu bangsa akan terus teguh selagi akhlak dan pegangan agamanya utuh. Jika tidak, maka sebaliknyalah yang akan berlaku,” jelas beliau.
Beliau turut memetik kata-kata penyair Arab terkenal, Ahmad Syauqi Bey yang menyebut, ‘Sesungguhnya umat itu bergantung pada keutuhan akhlaknya. Apabila akhlaknya hancur, maka hancurlah umat tersebut.’
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha memperkukuhkan kesatuan politik Melayu-Islam perlu digerakkan segera bermula dengan menghadapi PRN Johor dan diteruskan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah politik negara telah membuktikan parti-parti Melayu pernah mengenepikan perbezaan demi kestabilan dan kesejahteraan negara ketika berhadapan dengan cabaran besar.
“Insya-Allah, apabila Melayu-Islam bersatu, kita akan menjadi kuat dan mampu melindungi hak semua pihak serta memastikan negara terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 4/6/2026











