
KOTA BHARU:Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan pihak tertentu kini lebih gemar memainkan isu-isu kecil berkaitan PAS bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada pelbagai isu besar yang sedang dihadapi negara.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, apa sahaja yang melibatkan pimpinan PAS akan cuba ‘dipetik, dipotong dan dipusingkan’ bagi membentuk persepsi negatif terhadap parti itu.
Menurutnya, sehingga kini pihak berkenaan masih gagal mengemukakan isu besar yang benar-benar membuktikan PAS merosakkan sistem negara sebagaimana beberapa skandal yang pernah dikaitkan dengan pihak lain sebelum ini.
“Sekarang ini cybertrooper dan ‘kaki spin’ tertentu banyak bermain dengan isu-isu kecil. Apa sahaja melibatkan pimpinan PAS akan cuba ‘dipetik, dipotong dan dipusing’ supaya nampak buruk di mata rakyat.
“Namun mereka masih gagal membawa satu isu besar yang benar-benar membuktikan PAS merosakkan sistem negara sebagaimana skandal besar yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, antara isu yang sepatutnya diberikan perhatian ialah kos sara hidup, kenaikan harga barang, subsidi diesel, nilai ringgit, isu pendidikan, kebajikan rakyat serta pelbagai cabaran ekonomi yang sedang dihadapi rakyat.
Katanya, rakyat lebih terkesan dengan peningkatan kos kehidupan harian termasuk harga makanan, utiliti, perumahan dan perkhidmatan kesihatan berbanding polemik politik yang sengaja diperbesarkan.
“Ini realiti yang sedang ditanggung rakyat. Harga barang meningkat, kos operasi bertambah dan pelbagai tekanan ekonomi terus dirasa.
“Isu-isu seperti inilah yang sepatutnya menjadi keutamaan untuk diselesaikan,” jelasnya.
Tambah beliau, pelbagai persoalan turut dibangkitkan rakyat berkaitan kebebasan bersuara, janji reformasi, kebajikan pegawai perubatan, rumah mampu milik serta kedudukan ekonomi negara.
“Keadaan itu menyebabkan rakyat semakin mampu menilai pihak yang benar-benar memberi tumpuan kepada masalah rakyat berbanding mereka yang hanya menumpukan kepada permainan persepsi politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2026











