‘Tiada Janji, Lihat Bukti’ gagal diterjemah MB Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Slogan yang sering diulang oleh Menteri Besar Pahang, “Tiada Janji, Lihat Bukti”, gagal diterjemahkan dalam pelaksanaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (LTAK) apabila sasaran operasi pada tahun 2026 tidak dapat dicapai.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, rakyat kini dapat melihat sendiri bukti bahawa projek mega diuar-uarkan sebagai pemangkin baharu ekonomi negeri itu akhirnya tidak akan beroperasi mengikut jadual diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, pengesahan kerajaan negeri bahawa LTAK kini disasarkan siap dan beroperasi pada tahun 2031 menunjukkan sasaran asal yang dicanangkan kepada rakyat telah gagal dicapai.

“Rakyat Pahang pastinya masih mengingati slogan ‘Tiada Janji, Lihat Bukti’ yang sering diulang oleh Menteri Besar. Namun hari ini, rakyat sendiri dapat melihat bukti bahawa projek mega LTAK yang diwar-warkan akan beroperasi pada akhirnya diakui gagal mencapai sasaran tersebut.

“Sidang Dewan Negeri Pahang baru-baru ini mengesahkan bahawa projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng kini disasarkan siap dan beroperasi pada tahun 2031, bukannya 2026 seperti yang diumumkan dan dicanangkan sebelum ini.

“Apa yang lebih mengecewakan, projek yang dijanjikan sejak tahun 2022 sebagai simbol kemajuan dan lonjakan ekonomi negeri itu sehingga kini masih berada pada peringkat pemuktamadan teknikal dan penglibatan pelabur strategik.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri pimpinan UmDAP gagal merancang secara realistik dan telus kepada rakyat. Pengumuman demi pengumuman dibuat dengan penuh gah, namun hasil sebenar yang rakyat lihat hanyalah kelewatan, ketidakpastian dan alasan demi alasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai ketepatan perancangan dan keyakinan yang ditunjukkan ketika sasaran operasi 2026 diumumkan.

Katanya, kerajaan negeri perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa sasaran tersebut diumumkan lebih awal sedangkan pelbagai aspek penting termasuk urusan teknikal dan penglibatan pelabur strategik masih belum dimuktamadkan.

“Mengapa sasaran 2026 diumumkan dengan begitu yakin jika pelbagai syarat teknikal dan pelabur masih belum dimuktamadkan? Adakah ia sekadar gula-gula untuk memancing undi Pilihan Raya?

Mengapa rakyat diberi gambaran seolah-olah projek sudah berada pada tahap kukuh sedangkan pembinaan fizikal masih belum jelas? Siapa yang perlu bertanggungjawab atas kegagalan mencapai sasaran asal ini?,” katanya.

Ahmad Azlan berkata, isu berkenaan bukan sekadar membabitkan kelewatan sebuah projek pembangunan, sebaliknya menyentuh soal integriti pentadbiran dan ketelusan kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Rakyat Pahang sudah terlalu lama disajikan dengan projek mega berprofil tinggi, namun akhirnya banyak yang tertangguh, berubah sasaran dan gagal ditunaikan mengikut janji asal.

“Dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang terhad dan ekonomi yang tidak menentu, kerajaan negeri sepatutnya lebih bertanggungjawab dan tidak menjadikan projek mega sebagai bahan propaganda politik semata-mata.

“Hakikatnya, kegagalan yang diakui sendiri oleh kerajaan negeri ini menunjukkan bahawa Pahang memerlukan kepimpinan baharu yang lebih telus, berintegriti dan benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah peluang rakyat untuk menghantar mesej jelas bahawa rakyat sudah muak dengan politik janji manis tetapi gagal ditunaikan.

“Jika slogan mereka dahulu berbunyi ‘Tiada Janji, Lihat Bukti’, maka hari ini rakyat sudah melihat sendiri bukti kegagalan tersebut. Sudah tiba masanya rakyat Pahang melakukan perubahan demi masa depan negeri yang lebih amanah, stabil dan berkebajikan.

“Janji manis dan realiti pahit bukan itu yang rakyat mahukan. Rakyat mahukan ketelusan, bukan alasan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pahang mengesahkan bahawa cadangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng, dijangka siap pada 2031.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, ini kerana lapangan terbang ini satu aset membabitkan kos berbilion ringgit yang akan beroperasi antara 50 dan 100 tahun. – HARAKAHDAILY 3/6/2026

- Advertisement -