
TEHRAN: Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk ‘bergerak melangkaui tahap menyuarakan kebimbangan’ dan ‘mengambil keputusan yang menghukum dan mengikat’ terhadap Israel.
Beliau berkata dalam satu kenyataan di platform X, krisis Timur Tengah adalah ‘hasil jenayah dan kekebalan rejim Zionis, yang melanggar kedaulatan kerajaan, menjadikan gencatan senjata tidak bermakna, dan mencemarkan kesucian rakyat Palestin’
“Undang-undang antarabangsa tidak ditegakkan melalui kecaman yang tidak berkesan,” katanya.
Tambah beliau, susulan dakwaan Presiden Amerika Syarikat bahawa Tehran telah menghalang Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu daripada melancarkan serangan besar ke atas Beirut adalah adalah pengesahan peranan langsung Amerika dalam ‘menguruskan’ pencerobohan rejim Zionis ke atas Lubnan.
“Jika keputusan untuk menyerang ibu kota sebuah negara merdeka boleh diubah dengan satu panggilan telefon, persoalan utamanya ialah mengapa berlaku pelanggaran gencatan senjata selama berbulan-bulan, pencerobohan terhadap Lubnan, pengusiran rakyatnya, dan ancaman terhadap kedaulatan negara ini yang disokong oleh sokongan politik dan ketenteraan Barat? Katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2026











