
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Azmer Syazwan Ahmad Suparmin menegaskan, kepimpinan yang benar-benar bersedia tidak perlu sentiasa menzahirkan kekuatan secara terbuka untuk membuktikan kemampuan mereka.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan kepimpinan yang mempunyai asas perjuangan yang jelas, pasukan yang terlatih, jentera yang tersusun, dasar berteraskan nilai serta kemampuan mentadbir yang dibina secara konsisten sejak sekian lama.
“‘Harimau tidak perlu mengaum setiap masa untuk membuktikan kekuatannya. Cukup dengan langkah yang tenang, tersusun dan meyakinkan’,” katanya memetik pepatah tersebut dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, rakyat hakikatnya tidak lagi berminat untuk menjadi penonton kepada drama politik yang tidak berpenghujung, sebaliknya sedang menilai, memerhati dan membuat perbandingan terhadap perkembangan politik semasa.
Beliau menjelaskan bahawa DPPWP mengambil perhatian terhadap perkembangan politik semasa yang semakin memperlihatkan keresahan rakyat terhadap hala tuju pentadbiran negara.
Dalam pada itu, beliau mengakui rakyat mengharapkan penyelesaian yang nyata berikutan keadaan ekonomi yang masih menekan kehidupan, kos sara hidup yang terus meningkat, peluang pekerjaan yang semakin mencabar serta isu tadbir urus yang menimbulkan persoalan.
“Malangnya, apa yang sering dipertontonkan hari ini ialah pertikaian politik yang tidak berkesudahan, percaturan kuasa yang mengelirukan serta polemik yang semakin menjauhkan rakyat daripada agenda sebenar pembinaan negara,” tegasnya.
Tambah Azmer Syazwan, masa depan Malaysia tidak boleh bergantung kepada populariti semata-mata, slogan sementara atau janji yang silih berganti.
Katanya lagi, dalam keadaan ramai masih mencari arah, perlu ada satu saf yang terus membina kekuatan, melatih kepimpinan, mendidik generasi muda, memperkukuh institusi masyarakat serta menyediakan pelan jangka panjang untuk negara.
“Sesungguhnya, perjuangan yang sebenar bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya. Perjuangan yang sebenar ialah mempersiapkan diri untuk memikul amanah pemerintahan apabila tiba masanya,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 menegaskan mengenai amanah kepimpinan yang perlu dilaksanakan dengan adil dan berintegriti.
“Ayar tersebut mengingatkan bahawa, kekuasaan bukan suatu keistimewaan, sebaliknya amanah yang menuntut persediaan, integriti, kecekapan dan keadilan,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, DPPWP akan terus menumpukan usaha kepada pembinaan generasi pelapis, pengukuhan organisasi, latihan kepimpinan, penguasaan ilmu, penglibatan masyarakat serta persediaan jentera rakyat bagi menghadapi cabaran negara.
“Kami percaya, ketika sebahagian pihak masih bergelut dengan persoalan mempertahankan kuasa atau mencari formula baharu untuk kekal relevan, rakyat sebenarnya sedang mencari satu kekuatan yang stabil, berprinsip dan bersedia untuk memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.
“Kerana akhirnya, rakyat tidak akan memilih siapa yang paling lantang berbicara. Mereka akan memilih siapa yang paling bersedia untuk memimpin,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2026











