‘Jangan terpedaya lakonan ‘serangan’ terhadap DAP’

PRN Johor ke-16

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan apa yang disifatkannya sebagai lakonan ‘serangan’ terhadap DAP ketika ini.

- Advertisement -

Beliau menegaskan, keadaan itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana pihak terbabit boleh kembali bersama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Demi kuasa ‘mereka’ boleh bersama selepas PRN. Bukti jelas!” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.

Beliau berkata demikian dipercayai susulan beberapa kenyataan balas di antara Umno dan DAP yang dilihat ‘menyerang’ di antara satu sama lain.

Antara serangan tersebut adalah, pada 28 Mei lepas, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dilaporkan telah mengingatkan Umno agar tidak melupakan peranan Pakatan Harapan yang membantu parti itu kekal relevan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika berdepan kemerosotan sokongan dan cabaran daripada Perikatan Nasional.

DAPSY mendakwa bahawa kerjasama PH-BN termasuk rundingan kerusi dan sokongan dalam pembentukan kerajaan negeri telah memberi ruang kepada Umno mengekalkan kedudukan politiknya.

Ia turut mempersoalkan keikhlasan Umno terhadap semangat Kerajaan PH-BN susulan keputusan BN Johor bertanding solo.

Sehubungan dengan itu, DAPSY mencadangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen serentak dengan pilihan raya negeri jika ada pihak yang memperlekehkan kerjasama tersebut.

DAPSY berkata demikian susulan pada 16 Mei lalu, Pengerusi BN Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengesahkan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.

Pada 28 Mei lalu juga, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa DAP tidak wajar menuduh Umno melupakan jasa PH kerana pembentukan kerajaan selepas PRU15 turut bergantung kepada sokongan Barisan Nasional.

“BN juga memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negara dan mencabar DAP menarik sokongan daripada kerajaan jika mahu menguji kekuatan masing-masing melalui pilihan raya,” katanya.

Justeru sehubungan itu, Muhammad Hanif dalam kenyataan beliau bagaimanapun menyeru agar pengundi menolak DAP serta semua pihak yang sedang bersama parti berkenaan pada PRN Johor akan datang.

“Tolak DAP dan semua yang sedang bersama DAP dalam PRN Johor nanti!” tegasnya.

Terdahulu, pada 16 Januari 2026, media tempatan melaporkan, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, kerjasama Umno-BN dengan DAP dalam Kerajaan Persekutuan berlaku hasil kematangan politik dan demi kestabilan negara, walaupun beliau pernah melaungkan slogan ‘No Anwar, No DAP’.

Zahid dalam dakwaan itu berkata, hubungan dengan DAP kini baik, dan parti itu memberi kerjasama penuh kepada Umno, termasuk menyokong pelantikan wakil BN dalam Kabinet serta jawatan Menteri Besar Perak.

Beliau turut mendakwa bahawa DAP kini menghormati Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam, bahasa Melayu serta hak Melayu dan Bumiputera, sambil menyifatkan kerjasama politik rentas parti sebagai realiti baharu demi kepentingan negara dan rakyat. – HARAKAHDAILY 3/6/2026

- Advertisement -