
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (WP) telah mengadakan satu sesi pertemuan rasmi bersama pimpinan MIPP WP bertempat di Darul Madani, Diamond Square, di sini baru-baru ini.
Setiausaha PAS WP, Lar Mohd Fauzi Abu Bakar mempengerusikan pertemuan yang turut dihadiri pimpinan utama PAS WP serta pimpinan MIPP WP diketuai oleh Timbalan Pengerusi MIPP WP, Aathava Aarrieez.
Sesi tersebut diadakan sebagai platform memperkukuhkan hubungan antara parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) di samping mempererat semangat kerjasama, persefahaman dan perpaduan dalam mendepani cabaran politik serta kebajikan rakyat di WP.
Antara agenda utama termasuk, pengenalan serta ta’aruf antara pimpinan kedua-dua pihak, taklimat organisasi PAS WP, penerangan mengenai peranan dan gerak kerja MIPP WP serta perbincangan berkaitan isu-isu masyarakat serta kerjasama strategik masa hadapan.
Pesuruhjaya PAS WP, Ustaz Azhar Yahya dalam ucapannya menyatakan komitmen untuk terus mendekati seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama melalui pendekatan dialog, kebajikan dan politik matang yang mengutamakan keharmonian negara.
Beliau menegaskan bahawa, sebagai peneraju sebuah negara, PAS akan memastikan semua rakyat Malaysia dijamin hak berdasarkan konsep keadilan dituntut Islam khususnya pendidikan, kebajikan dan kebebasan beragama mengikut kepercayaan masing-masing.
Pertemuan itu dilihat menyerlahkan semangat keterbukaan dan kesediaan kedua-dua semua pihak dalam Perikatan Nasional itu untuk membina kekuatan bersama demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan politik negara.
PAS WP berharap hubungan baik yang terjalin itu akan diteruskan melalui pelbagai program bersama agar memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 26/5/2026













