
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berada di persimpangan penting dalam sejarah politik negara apabila rakyat dilihat semakin matang untuk menilai parti politik bukan berdasarkan persepsi atau propaganda lama.
Ts Dr Subash Chandrabose M Arumugam berkata, rakyat dilihat semakin matang dalam menilai parti politik berdasarkan rekod pentadbiran, integriti kepimpinan dan keupayaan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan itu berpandangan, PAS merupakan antara pilihan terbaik untuk diberikan mandat memimpin Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk oleh masyarakat bukan Islam.
“PAS bukanlah sebuah parti yang hanya pandai berjanji. Parti ini mempunyai pengalaman mentadbir beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri di Perlis serta kerajaan Persekutuan,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan PAS mentadbir Kelantan sejak 1990 dan berjaya mengekalkan kestabilan politik serta pentadbiran selama beberapa dekad.
Di Terengganu dan Kedah pula menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat, perumahan mampu milik, pendidikan dan bantuan sosial telah dilaksanakan tanpa mengira kaum dan agama.
“Apa yang paling penting, tidak pernah berlaku dasar rasmi PAS yang menafikan hak rakyat bukan Islam untuk menjalankan kehidupan, perniagaan, pendidikan atau amalan keagamaan mereka.
“Rumah ibadat bukan Islam terus beroperasi, masyarakat pelbagai kaum terus hidup dalam suasana aman, dan bantuan kerajaan negeri turut disalurkan berdasarkan keperluan rakyat,” jelas beliau.
Dari label ekstrem kepada realiti kesederhanaan
Dr Subash menyatakan, PAS sering dilabel sebagai parti ekstrem sebelum ini, namun realiti hari ini menunjukkan gambaran berbeza.
Menurut beliau, PAS telah membuktikan kematangan dalam pentadbiran moden dengan mengamalkan tadbir urus berteraskan keadilan, integriti dan kebajikan rakyat.
“Malah, semakin ramai tokoh bukan Islam yang berani mendekati PAS dan memahami sendiri perjuangan parti tersebut,” ulas beliau.
Kewujudan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) katanya, menjadi bukti PAS membuka ruang penyertaan masyarakat bukan Islam dalam politik dan pembangunan negara.
Ahli DHPP jelas beliau, bukan sahaja menyokong PAS malah turut terlibat menyuarakan pandangan serta membantu membentuk dasar lebih inklusif.
“Hakikatnya, ramai yang pernah melihat PAS dari jauh kini mula memahami bahawa Islam yang diperjuangkan PAS adalah Islam yang membawa rahmat, keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama,” kupas beliau.
Islam asas integriti dan ketelusan
Menurut beliau, antara kelebihan utama PAS ialah asas perjuangannya yang berpaksikan nilai Islam yang menekankan amanah, kejujuran, integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab kepada rakyat.
Beliau menjelaskan Islam menolak rasuah, penyelewengan dan kezaliman terhadap rakyat, sekali gus mewujudkan tanggungjawab moral tinggi kepada pemimpin.
“Dalam Islam, rasuah adalah dosa, penyelewengan adalah pengkhianatan, dan kezaliman terhadap rakyat merupakan kesalahan yang berat.
“Oleh sebab itu, pemimpin yang benar-benar memahami prinsip Islam mempunyai tanggungjawab moral yang tinggi untuk memelihara amanah rakyat,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan parti berasaskan sentimen perkauman sering terperangkap dalam politik identiti sempit yang memecahbelahkan rakyat.
Malaysia katanya, memerlukan kerajaan yang menyatukan rakyat melalui nilai bersama seperti keadilan, integriti dan kebajikan, bukan sentimen perkauman.
Keadilan untuk semua rakyat
Dr Subash menegaskan, Islam mengajar keadilan wajib diberikan kepada semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa.
Beliau menjelaskan, kebencian terhadap sesuatu kaum tidak boleh menjadi alasan untuk berlaku tidak adil.
“Dalam konteks pentadbiran negara, prinsip tersebut diterjemahkan melalui dasar yang membantu rakyat berdasarkan keperluan sebenar mereka.
“Golongan miskin perlu dibantu tanpa mengira kaum. Peluang pendidikan perlu dibuka kepada semua. Perniagaan perlu berkembang dalam suasana yang adil.
“Kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan perlu terus dihormati. Inilah bentuk pentadbiran yang diharapkan oleh rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu,” jelasnya.
Harapan selepas PRU16
Dr Subash turut menyenaraikan beberapa harapan sekiranya PAS diberikan mandat lebih besar selepas PRU16.
Antaranya menurut beliau, kerajaan yang lebih bersih dan berintegriti dengan penekanan membanteras rasuah dan salah guna kuasa, pengurusan kewangan negara yang lebih berhemah serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, beliau turut menyebut pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar, pemerkasaan institusi keluarga bagi mengurangkan masalah sosial, pengukuhan perpaduan nasional berasaskan keadilan serta pentadbiran yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menilai PAS berdasarkan rekod, prestasi dan prinsip perjuangan parti, bukan berdasarkan persepsi lama yang dibentuk oleh propaganda politik.
Menurutnya, pengalaman mentadbir beberapa negeri selama puluhan tahun membuktikan PAS mampu mengurus kerajaan secara stabil dan memberikan layanan adil kepada semua rakyat.
“Bagi masyarakat bukan Islam, menyokong PAS bukanlah soal agama semata-mata, tetapi soal memilih sebuah kerajaan yang mengutamakan integriti, keadilan, ketelusan dan kebajikan rakyat.
“Jika nilai-nilai ini menjadi asas pentadbiran negara, maka Malaysia berpotensi menjadi sebuah negara yang lebih makmur, bersatu dan dihormati di persada dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2026











