
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menegaskan kenyataan titah Sultan Selangor jelas menyatakan keperluan perpaduan dalam kalangan umat Islam supaya menjadi golongan yang kuat dan hebat seperti dituntut Islam.
Menurut beliau, pertelingkahan dalam kalangan umat Islam perlu dihentikan kerana mereka sepatutnya menjadi tonggak kepada keharmonian serta keamanan masyarakat dan negara.
Katanya, perpaduan dalam kalangan pemimpin umat Islam juga mampu mendorong pihak lain menghormati kepimpinan termasuk dalam politik yang matang serta sejahtera.
“Kenyataan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor jelas menyatakan keperluan perpaduan di kalangan ummat Islam supaya mereka menjadi golongan yang kuat dan hebat seperti yang dituntut Islam. Pertelingkahan di kalangan ummat Islam perlu dihentikan.
“Mereka sepatutnya menjadi tonggak kepada keharmonian dan keamanan. Perpaduan di kalangan pemimpin ummat Islam akan melorong yang lain menghormati kepimpinan termasuk politik yang matang dan sejahtera,” katanya kepada Harakahdaily.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 2026 menyeru orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya terus bersatu-padu serta tidak bertelagah sesama sendiri.
Baginda bertitah, jika perpecahan dan pertelingkahan terus berlaku, umat Islam sendiri akan menjadi golongan yang rugi dan lemah di mana terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Baginda turut mengingatkan semua pihak supaya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan sehingga melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.
Dalam masa sama, Sultan Selangor menegaskan perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha bermusuhan dengan kaum lain di negara ini.
Sebaliknya, baginda bertitah kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling hormat menghormati. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











