Perbezaan fahaman politik tak harus halang kerjasama

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dato’ Dr Ab Halim Tamuri menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam perkara membabitkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, agenda memperkukuh penghayatan Islam, memartabatkan pendidikan, memperbaiki akhlak masyarakat serta mempertahankan institusi umat perlu digerakkan secara bersama tanpa mengira fahaman politik.

- Advertisement -

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras mengingatkan bahawa usaha memperkukuh perpaduan Melayu dan Islam tidak harus disalah tafsir sebagai ancaman kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

PAS Selangor katanya, menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru perpaduan orang Melayu dan umat Islam demi memastikan kestabilan negeri serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Menurut beliau, titah Sultan Sharafuddin itu hadir pada waktu yang sangat signifikan ketika masyarakat berhadapan pelbagai cabaran termasuk perpecahan politik, isu sosial dan tekanan terhadap institusi umat Islam.

Jelas Dr Ab Halim lagi, penyatuan umat Islam perlu dilihat sebagai tanggungjawab besar yang melangkaui kepentingan politik kepartian kerana ia menjadi asas kekuatan ummah.

“PAS Selangor berpandangan bahawa penyatuan umat Islam bukan sekadar tuntutan politik, sebaliknya merupakan kewajipan syarak yang menjadi asas kekuatan ummah.

“Perpecahan hanya akan melemahkan umat manakala kesatuan yang dibina atas nilai Islam mampu memperkukuh masyarakat serta membawa manfaat kepada seluruh rakyat.

“Sebaliknya, kekuatan umat Islam yang bersatu atas prinsip keadilan, rahmah dan saling menghormati akan menyumbang kepada keamanan serta keharmonian masyarakat majmuk,” jelasnya.

Beliau turut mengajak seluruh umat Islam menyahut titah Sultan Selangor dengan memperkukuh ukhuwah serta meletakkan agenda perpaduan ummah mengatasi segala perbezaan politik demi masa depan negeri dan negara.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menerusi Titah Perutusan Sempena Hari Raya Aidiladha menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya terus bersatu padu serta menjadikan perpaduan sebagai asas kekuatan masyarakat dan negara.

Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap pertelingkahan dalam kalangan ahli politik sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Menurut baginda, Aidiladha membawa pengajaran besar mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah sebagaimana dizahirkan oleh jutaan umat Islam ketika berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira bangsa, pangkat dan kedudukan.

“Ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa orang Melayu dan umat Islam perlu mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan sehingga melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.

“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah,” titah baginda dalam perutusan dikeluarkan Istana Alam Shah itu.

Dalam masa sama, baginda menegaskan usaha memperkukuh perpaduan orang Melayu tidak seharusnya dianggap sebagai usaha memusuhi kaum lain.

“Sebaliknya, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling hormat menghormati,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini supaya terus memelihara sensitiviti antara satu sama lain serta hidup dalam suasana aman damai. – HARAKAHDAILY 22/5/2026

- Advertisement -