DAP mahu jadikan Raja hanya ‘simbol’ tanpa suara

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sikap segelintir pihak hanya mempertahankan prinsip ‘Keluhuran Perlembagaan’ apabila menguntungkan politik mereka; disifatkan sebagai tidak jujur serta bercanggah dengan semangat sebenar sistem Raja Berperlembagaan negara.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, terdapat pihak dilihat menjadi ‘jaguh Perlembagaan’, namun dalam masa sama tidak senang apabila Institusi Raja menjalankan fungsi yang turut dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara di mana. menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan tetapi kuasa Raja terhad kepada aspek tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu bermaksud kuasa itu terhad kepada adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Mohamed Sukri yang juga Exco Pemuda PAS Malaysia, ada pihak cuba menggambarkan sesiapa yang mempertahankan titah Sultan seolah-olah mahu menjadikan Malaysia sebuah negara diktator beraja.

Bidas Pengerusi Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia itu, hujah sedemikian bukan sahaja dangkal dan mengelirukan, malah sengaja dialihkan bagi menutup isu sebenar.

“Isu sebenar sangat mudah. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam Negeri telah menyatakan pendirian dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, keharmonian masyarakat.

“(Juga) kepentingan negeri, kenapa masih ada pihak terus mempertikaikan, memperlekeh dan mempolitikkan secara terbuka?” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam.

Beliau berkata, prinsip Rukun Negara khususnya ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ tidak seharusnya sekadar menjadi lafaz dalam acara rasmi tanpa dihayati dalam kehidupan bernegara.

Menurutnya, penghormatan terhadap Raja Berperlembagaan perlu diterjemahkan melalui adab dan sikap terutama apabila institusi itu memainkan peranan dalam menjaga kestabilan dan keharmonian negara.

“Jangan bercakap tentang Keluhuran Perlembagaan jika adab terhadap Raja Berperlembagaan pun gagal dijaga. Jangan melaungkan ‘Rule of Law’ jika peranan Raja dalam sistem kenegaraan hanya mahu dihormati ketika memotong reben dan menghadiri istiadat semata-mata,” ujarnya.

Mohamed Sukri turut berkata, terdapat pihak yang mahu institusi Raja hanya berfungsi sebagai simbol tanpa suara dalam perkara melibatkan agama, kestabilan negeri dan kepentingan rakyat.

Namun katanya, apabila Sultan tampil menyuarakan pandangan dalam isu tertentu, golongan terbabit mula memberikan pelbagai hujah kononnya lebih memahami Perlembagaan berbanding pihak lain.

Beliau menegaskan bahawa mempertahankan institusi Raja bukan soal ketaksuban, sebaliknya berkait dengan adab, prinsip dan penghormatan terhadap struktur kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Institusi Raja bukan ‘rubber stamp’. Raja Berperlembagaan adalah tiang seri negara, benteng kestabilan, payung perpaduan dan salah satu asas utama kelangsungan Malaysia,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya menghormati keseluruhan Perlembagaan dan tidak memilih hanya bahagian tertentu yang menguntungkan naratif politik masing masing.

Terdahulu, Tony dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengeluarkan titah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan dan bekas Exco Selangor.

Wong Siew Ki dan Ronnie Liu dititahkan baginda untuk datang seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami serta menghayati makna Rukun Negara. – HARAKAHDAILY 22/5/2026

- Advertisement -