
KOTA BHARU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan menggesa kerajaan mempertimbangkan segera penambahan sementara kuota subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Ketua Penerangan MUDA Kelantan, Wee Khai Nern berkata, pihaknya tidak menolak keperluan reformasi dan penyasaran subsidi secara keseluruhan, namun berpandangan dasar yang baik memerlukan fleksibiliti, keanjalan dan kepekaan terhadap keadaan semasa rakyat.
Beliau menegaskan, penambahan sementara kuota subsidi RON95 kepada 300 liter sempena Aidiladha merupakan langkah praktikal dan bersasar bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos perjalanan musim perayaan.
“Kerajaan Madani sering menekankan konsep ihsan dan kesejahteraan rakyat. Maka sudah tiba masanya prinsip tersebut diterjemahkan melalui tindakan yang benar-benar dirasai rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Tambah beliau, langkah tersebut penting khususnya bagi golongan perantau, keluarga berpendapatan sederhana dan rakyat yang bergantung kepada kenderaan persendirian untuk pulang ke kampung.
“MUDA Kelantan menyeru Kementerian Kewangan agar segera memberikan maklum balas terhadap tuntutan ini demi memastikan rakyat dapat menyambut Aidiladha dengan lebih tenang dan bermaruah.
“Rakyat tidak meminta kemewahan. Mereka hanya mahu pulang ke rumah tanpa dihimpit beban tambahan,” jelas Wee Khai Nern.
Katanya, setiap kali musim perayaan, jutaan rakyat Malaysia akan pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga dan menyambut Aidiladha.
“Tradisi ini bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi sebahagian daripada budaya, tanggungjawab kekeluargaan dan kehidupan masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, ramai rakyat kini berdepan tekanan tambahan akibat pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang menetapkan kuota semasa sebanyak 200 liter.
Menurutnya lagi, bagi rakyat yang perlu melakukan perjalanan jarak jauh, khususnya perantau dari Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, kuota itu tidak lagi mencukupi apabila perjalanan pergi dan balik boleh mencecah antara 800 hingga 1,000 kilometer.
“Lebih membebankan, ramai penerima subsidi sudah pun menggunakan sebahagian besar kuota mereka menjelang minggu-minggu terakhir bulan Mei, dengan baki hanya sekitar 30 hingga 50 liter sebelum memulakan perjalanan pulang beraya,” jelasnya lagi.
Wee Khai Nern seterusnya memaklumkan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dijangka menerima sehingga 60,000 kenderaan sehari sempena Aidiladha, sekali gus menunjukkan skala besar pergerakan rakyat setiap kali musim perayaan.
“MUDA Kelantan berpandangan bahawa kerajaan tidak boleh terus melihat isu subsidi semata-mata daripada sudut penjimatan fiskal tanpa memahami realiti kehidupan rakyat di bawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











