
MARANG: PAS menyifatkan tindakan BERSATU menolak usaha memperkukuh Perikatan Nasional (PN), termasuk menyekat penyertaan parti-parti Melayu-Islam serta parti bukan-Islam yang tidak ekstrem, sebagai tidak menyenangkan dan berpotensi menjejas kesepakatan gabungan itu.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan tersebut demi memperkasakan agenda Melayu-Islam, namun langkah itu tidak dipersetujui oleh parti berkenaan.
“Hal-hal seperti ini akan kita kaji dan teliti satu persatu untuk melihat tindakan selanjutnya. Pilihan raya ini ada untung ruginya dan melibatkan soal sokongan kita.
“Kalau menjejaskan Perikatan Nasional dalam pilihan raya, maknanya kita tidak mengikut apa yang sepatutnya,” kata beliau pada sidang media di kediamannya di Rusila, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Beliau berkata, PAS selama ini mengambil pendekatan bersabar demi memastikan kelangsungan perpaduan dalam PN, namun kesabaran tersebut mempunyai batasnya.
“Kita sabar, tetapi sabar ada batas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dan bekas Timbalan Pengerusi PN ketika mengulas perkembangan semasa.
PRU16: Mungkin PAS tanpa BERSATU
Menurut beliau, PAS tidak menolak kemungkinan untuk bergerak tanpa BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya tiada persefahaman dicapai antara parti komponen.
“Itu satu kemungkinan dalam politik. Kalau menjejaskan pelaksanaan pilihan raya dan sokongan kepada kita, PAS akan bertindak mengikut apa yang sepatutnya,” kata Tuan Guru lagi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS masih kekal sebagai Pengerusi PN dan gabungan itu masih berupaya untuk bergerak menghadapi pilihan raya akan datang.
“PAS masih jadi Pengerusi PN dan kita boleh bertanding atas nama PN selagi PAS berada dalam gabungan itu,” jelasnya yang juga bekas Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Mengulas lanjut, Tuan Guru berkata, PAS telah mengadakan pertemuan bersama kepimpinan BERSATU bagi membincangkan beberapa isu berbangkit, termasuk tindakan yang dilihat tidak sehaluan dengan semangat kerjasama gabungan.
“Kita sudah bersemuka dalam mesyuarat PN. Semua tindakan negatif akan dikaji satu persatu,” katanya kepada media selepas Kuliah Dhuha mingguan itu.
Dalam pada itu, beliau turut menolak spekulasi bahawa PAS akan bekerjasama dengan Umno dalam pilihan raya akan datang, dengan menegaskan perkara itu tidak berbangkit.
“Itu tidak timbul kerana Umno bergabung dengan DAP dan Pakatan Harapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











