
GENDANG PRU ditabuh perlahan, kocakan nurani seperti ditaufan badai musim tengkujuh. Minggu ini alam medsos seperti tak berhenti mengejek kerajaan paling gagal pernah ditubuhkan semenjak Malaysia merdeka. Kebimbangan awam bukan sekadar melihat harga minyak yang tidak menentu namun nasib tanah air akibat refleksi perang Teluk (krisis Asia Barat) yang bakal menatijahkan inflasi yang bakal melonjak dan menghempap sebahagian besar rakyat terbanyak.
Pertumbuhan kitaran KDNK tidak stabil, FDI negara juga tidak secerah mentari pagi. Seperti majal sial yang datang bertindan tindih, menghempap batu gemala kepimpinan negara, tiga tahun tujuh bulan negara ini tidak berhenti daripada rungutan serta bebelan rakyat sejak 22 November 2022.
Kegagalan kerajaan Madani menunaikan manifesto PRU 15, tekanan kepada kebebasan menyuarakan pandangan, malah rakyat disergah dengan angkuh apabila meminta kerajaan melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam manifesto. Diikuti dengan polisi flip flop kerajaan PH-BN serta teknik pusingan-U yang kerap sehingga menimbulkan kemualan berganda kepada rakyat.
Semenjak awal, rakyat memerhatikan tingkah laku barisan Menteri yang jauh dari kompeten, dengan anggota legislatif daripada pihak kerajaan dengan keobsesan mereka terhadap pangkat darjat, membina kroni kapitalisme serta polisi yang gagal untuk memakmurkan negara. Bak ‘kabinet lipas’ yang menempatkan pelbagai Menteri yang tidak piawai, ada yang tanpa kualifikasi kertas, pemabuk, cenderung menggunakan apparatus kerajaan untuk menyelamatkan diri, pembohong tahap ketagihan atau Mythomania, serta pelbagai tampang buruk yang lain.
‘Patalogikal pembohongan’ yang ditampal pada imej pemimpin utama negara langsung jauh dari membantu kerukunan negara ini. Parti-parti yang memerintah juga saling berantakan, juga kegagalan melaksanakan reformasi menatijahkan lahirnya parti BERSAMA sebagai saingan sengit kepada PKR dan Anwar sendiri.
Rakyat umumnya mencebik kepada politikus asal jalanan ini yang membusung dada dengan pangkat serta gelaran feudal walaupun tidak terbukti apa jasa bakti mereka pada tanah watan, bahkan peradaban manusia. Rupa-rupanya, kelompok politikus jalanan ini apabila mendapat kuasa adalah lebih jahat daripada kerajaan yang mereka cemuh selama ini. Tanpa sedar rakyat memerhatikan mereka, dengan pantas cuba menukar cara hidup sekelip mata sehingga mencuat rasa menyampah rakyat.
Kenyataan media pemimpin yang sering bercanggah di antara satu sama lain, bahkan persaingan dalaman, intriq serta polemik berpanjangan, kecuaian integriti bahkan ada yang masih belum menguasai portfolio masing-masing walaupun sudah di hujung penggal!
Beras hilang, addendum hilang, segalanya memeritkan rakyat dengan kuasa beli yang semakin mengecil. PMX rajin ke luar negara dengan pelbagai alasan kononnya untuk menarik pelaburan namun rakyat tidak melihat ROI. PMX menutur kata-kata muluk kononnya perkembangan ekonomi yang baik, ironinya pelbagai subsidi untuk rakyat ditarik balik!
Kesenjangan kaum semakin melebar kerana isu ada kaum yang merasa besar kepala apabila PH-BN memerintah. Mereka berani menggunakan kuasa untuk memperlekeh sijil Halal, menukar status tanah-tanah kawasan masyarakat bukan Bumiputera bahkan menghidangkan makanan tidak halal kepada Muslim. Isu penternakan babi di Selangor, sikap biadap pemimpin DAP terhadap Sultan Selangor, pengiktirafan UEC serta ratusan isu yang lain sangat mengganggu tanah air ini.
Kerajaan yang rapuh ini mengganggu alam siber, mematikan akaun yang aktif berseberangan idea dengan kerajaan. Ugutan halus, intimidasi kepada anak-anak muda pro-pembangkang, bahkan menggunakan aparat keamanan untuk terus menekan suara pembangkang bahkan suara anak-anak muda yang rebel.
Bukan itu sahaja, bahkan kerajaan PH-BN gagal dalam mengawal limpahan warga asing ke negara ini, mencuri peluang pekerjaan rakyat tempatan terutama anak-anak muda. Malah membimbangkan dengan pemberian taraf kewarganegaraan yang tidak terkawal terutamanya dari Tanah Besar China. DAP, sekutu besar serta paling dominan dalam kerajaan ini sangat berminat menjaga portfolio PBT di mana kerajaan negeri yang pakatan ini kuasai. Orang Melayu wajib curiga dengan usaha menstrukturkan semula perbandaran dengan matlamat mengubah demografi politik amatlah merbahaya kepada kaum Bumiputera seolah-olah mengulangi nasib orang Melayu di Pulau Temasik!
Terkini juga, dalam isu penggunaan tulisan Mandarin dalam kad KKM di Setapak jelas signal usaha mendobrak kontrak sosial oleh parti pemerintah sendiri. Kerajaan PH-BN gagal memartabatkan bahasa Melayu, juga kelihatan begitu menjaga kaum minoriti yang mendukung kuat mereka, contohnya bantuan RM20 juta kepada sekolah-sekolah persendirian Cina di negara ini.
Dekadensi moral juga makin menyurut ke belakang, 40 buah konsert besar terus digalang pada tahun 2025 tanpa menghiraukan impak negatif ke atas generasi muda. Konsert Rain Rave baru-baru ini telah mengorbankan erti kebudayaan kebangsaan, namun dibilas samak dengan acara Quran Madani.
Pragmatisme yang mencalar karomah insaniah, kerosakan akhlak bukan dalam vara fikir kerajaan Madani. Konsep Madani dilacurkan sesedap kosa kata! Anak-anak dibajai ke arah budaya hedonisme ketimbang budaya intelektual di zaman edan Madani ini.
Wahai rakyat Malaysia yang pernah membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dalam PRU 15 terutamanya ahli-ahli NGO berbasis Islam, kalian masih ada secubit peluang untuk membaiki tanah air tercinta ini. Pilihan raya akan datang PAS-PN akan terus tampil dengan calon-calon terbaik, manifesto yang membumi serta terus berusaha menjaga tanah air ini dengan Syariah. Pilihan di tangan anda, silap memangkah maka implikasinya bukan sekadar lima tahun tetapi terheret kesannya sehingga akhirat.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 22/4/2026











