
IKHLAS dan jangan belakangi janji-janji yang telah dipersetujui. Seringkas itu sahaja syaratnya kalau mahu berkawan dengan PAS. Pada permulaan surah al-Maaidah, ada disebutkan perihal menyempurnakan akad ini.
Jika semua ini dipenuhi dan kamu tiada wang, PAS akan bantu. Kamu tiada markas, PAS akan berikan. Kamu tiada penyokong, PAS sediakan. Kamu tiada petugas, ahli PAS sanggup bekerja bila dikerahkan. Waima jika kamu tiada calon, calon PAS sanggup memakai lambang kamu demi mengalahkan musuh. PAS terbukti sangat setia dalam memegang janji-janjinya dan sangat kuat membantu rakan seperjuangan.
Tetapi masalah kepada semua rakan-rakan politik PAS, mereka mempunyai banyak kes salah laku atau ketamakkan yang menguasai diri mereka yang kemudiannya, diambil oleh musuh untuk dijadikan modal ugutan. Maka mereka mula memberikan masalah dalaman kepada PAS dan rakan politik yang lain ketika kerjasama itu.
Sejarah membuktikannya bermula Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR), Muafakat Nasional (MN) dan sekarang Perikatan Nasional (PN). Semua rakan pakatan politik PAS yang mempunyai masalah samada kes salah laku ataupun ketamakkan mereka. Langkah Kajang di Selangor, ambil jawatan MB di Perlis, antara contoh tamak rakan PAS.
PAS tidak pernah berjaya diugut oleh musuh dengan isu salah laku atau apa-apa yang boleh melemahkan PAS. Jika ada, kes itu sama ada dibuang kerana tidak mempunyai kekuatan bukti atau saksi. Sudah banyak contohnya. Kelantan misalnya setelah 36 tahun memerintah tanpa kes salah laku.
Terengganu dan juga Kedah, insya-Allah bakal menyusul rekod Kelantan dengan integriti yang tinggi yang diakui rakan dan lawan. Mana mungkin sehingga 75 tahun tiada satupun kes oleh pimpinan PAS yang berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa. Handal benarkah PAS menyembunyikannya, atau terlalu naifkah pihak berkuasa gagal menangkap pimpinan PAS ini? Jawapannya kerana ia tiada kes.
Dan sehingga kini, PAS masih menguasai carta juara tanpa salah laku dalam mentadbir. Inilah yang amat ditakuti musuh, kerana jika PAS menang dan menjadi Kerajaan Pusat, maka semua musuh-musuh PAS hampir pasti tidak akan dapat merampasnya semula kerana kepercayaan rakyat tidak akan berubah lagi. Rakyat begitu dahagakan sebuah kerajaan yang melaksanakan integriti, bukan hanya retorik kosong, bercakap, bersembang dan berjanji.
Musuh-musuh PAS ini hidup mewah atas dasar membaham duit rakyat. Semakin banyak jawatan, semakin tinggi kedudukan, semakin banyaklah harta dan kekayaan yang mereka akan kumpulkan bagi menjamin keturunan mereka tidak akan miskin. Kronisme dan nepotisme berkembang untuk tujuan itu sebagai khurafat pemikiran mereka. Inilah antara sebab mereka mahukan jawatan. Mahu jadi kaya.
Musuh-musuh PAS ini kemudiannya menjadi rakan kerjasama politik PAS apabila mereka menghadapi masalah dengan parti mereka. Pastinya kerana berebut harta, bukan kerana mahu membantu rakyat. Keluar parti, tubuh parti baharu. Kemudiannya setelah mereka rasa selesa ataupun diugut musuh dengan kes-kes lama, mereka mula membuat onar bagi menimbulkan alasan meninggalkan PAS. Begitulah kitarannya.
PAS tidak pernah menafikan yang mereka memerlukan kerjasama dari parti-parti yang lain bagi membentuk kerajaan. Walaupun sudah menang selesa di Kelantan dan Terengganu, PAS masih menawarkan beberapa kerusi kepada BERSATU tanda setiakawan dan dengan kerahan kerja membantu calon BERSATU oleh jentera PAS.
Apa sebabnya? Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS jelas menyatakannya dan telah puluhan tahun berjuang kerananya atas satu niat yang suci murni, iaitu perpaduan Islam. Beliaulah yang bertanggungjawab mengatur pasukan PAS sehingga berada di puncak sekarang dengan bantuan pimpinan PAS berbagai peringkat untuk melaksanakan agenda perpaduan.
PAS kini menjadi parti paling banyak kerusi di Parlimen. Semakin menjadi perhatian terutama dari golongan pengkritik politik yang kini mula membuka minda rakyat agar menerima PAS sebagai aset bernilai negara. PAS tidak tamak, sebab itu mereka menghormati PAS. Ini diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang mengaku PAS tidak mendesak untuk jawatan Menteri Kanan.
Oleh kerana ahli PAS sedar dan memahami hakikat perjuangan PAS ini, maka mereka sanggup memberikan taat setia kepada pimpinan PAS selagi tidak bercanggah dengan kehendak Islam. Kerjasama dengan mana-mana parti yang diputuskan oleh kepimpinan akan didukung oleh ahli. Dan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan sesebuah parti itu juga akan disokong penuh oleh ahli PAS.
Sebagaimana kata Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS, kita tidak kecewa dengan BERSATU, tetapi kita sabar. Dan sabar ada batasnya.
MOHD NASIR ABDULLAH
22 Mei 2026 – HARAKAHDAILY 22/5/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











