25 tahun banjir, ADUN desak kerajaan bertindak

- Advertisement -

BALIK PULAU: Penduduk di Simpang Tiga Air Putih dekat sini terpaksa menanggung masalah banjir kilat lebih 25 tahun tanpa penyelesaian tuntas daripada kerajaan negeri walaupun pelbagai aduan telah dikemukakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah berkata, kejadian banjir berlaku hampir setiap kali hujan lebat susulan sistem perparitan dan saliran yang tidak mampu menampung aliran air.

- Advertisement -

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk hidup dalam kebimbangan terutama ketika musim hujan kerana banjir boleh berlaku dalam tempoh singkat.

“Penduduk sudah tanggung selama 25 tahun. Kalau hujan dua jam sahaja sudah banjir. Kemuncaknya berlaku Jun tahun lepas apabila air naik hingga paras pinggang.

“Sekarang bila musim hujan, penduduk memang hidup dalam ketakutan,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Nadi Penang bersama pengacara Ir Ahmad Rafaie Dato’ Ir A Rashid dan Jamsari Samad.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini pernah memberi komitmen untuk melaksanakan beberapa tindakan termasuk kajian hidrologi dan topografi selain kerja pembersihan serta pengorekan Sungai Pak Long dan Sungai Bagan Air Hitam.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini penduduk masih belum melihat tindakan sebenar dilaksanakan walaupun perkara itu telah dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Saya tanya sendiri Exco sebab sebelum ini kerajaan jawab dalam soalan bertulis mereka mahu buat kajian, mahu korek Sungai Pak Long dan Sungai Bagan Air Hitam, tetapi sampai sesi kali ini masih belum dibuat.

“Kita rasa ralat sebab tindakan sepatutnya sudah lama dilaksanakan,” katanya menyuarakan kekecewaan rakyat apabila setiap kali isu dibangkitkan, kerajaan hanya memberi janji tanpa tindakan konkrit.

Katanya, penduduk bukan sahaja berdepan kerugian harta benda akibat banjir, malah terpaksa membersihkan rumah daripada lumpur dan air selut setiap kali kejadian berlaku.

“Bila banjir, bukan air bersih tetapi air selut. Penduduk kena cuci rumah, perabot rosak dan kehidupan mereka terganggu. Yang sedihnya rumah imam masjid juga terkesan dengan banjir ini,” katanya.

Beliau turut mendesak kerajaan negeri melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) secara menyeluruh kerana masalah berkenaan sudah terlalu lama membelenggu rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau turut membangkitkan isu projek RTB Sungai Burung yang didapati mengalami kelewatan dan kini dikategorikan sebagai projek bermasalah.

Menurutnya, projek bernilai kira kira RM20 juta itu melibatkan dua pakej iaitu RM5 juta di kawasan Sungai Burung dan RM15 juta di kawasan Malindo.

Jelasnya, pakej pertama yang sepatutnya siap pada 14 April lalu kini dilanjutkan sehingga Julai, namun beliau meragui projek tersebut mampu disiapkan mengikut jadual baharu.

“Pakej pertama di Sungai Burung sepatutnya siap pada 14 April tahun ini tetapi sekarang pihak berkaitan lanjutkan pula sehingga Julai. Tetapi saya rasa Julai pun tidak siap sebab kemajuan projek belum sampai 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kelewatan projek tebatan banjir itu amat mengecewakan kerana rakyat di kawasan terlibat sudah terlalu lama menunggu penyelesaian.

Selain isu banjir, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap masalah tanah runtuh di Jalan Tun Sardon yang disifatkan semakin membimbangkan terutama ketika musim hujan.

Menurut Mohamad Shukor, terdapat kira kira 10 lokasi runtuhan di sepanjang laluan utama yang menghubungkan Bayan Baru dan Balik Pulau.

Kata bekas guru itu, tindakan lambat pihak berkaitan membaiki kawasan runtuhan menyebabkan pengguna jalan raya terdedah kepada risiko kemalangan.

“Bila berlaku tanah runtuh, tindakan kerajaan sangat lambat. Ada tempat hampir setahun baru dibaiki. Jalan itu laluan utama rakyat berulang alik bekerja setiap hari. Jangan tunggu sampai berlaku kematian baru mahu bertindak,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, keadaan menjadi lebih berbahaya apabila kon keselamatan yang diletakkan di kawasan runtuhan sering berubah kedudukan akibat hujan dan angin sehingga menyempitkan laluan jalan raya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri lebih serius menangani isu infrastruktur dan banjir di Pulau Pinang demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 22/5/2026

- Advertisement -