
Alhamdulillah, hari ini 22 Mei 2026, hari Jumaat yang penuh keberkatan. Hari ini juga dengan perasaan yang amat berat menghentikan buat sementara waktu Dapur Rakyat yang dianjurkan sejak 13 Mei lalu.
Khidmat Malaysia bersama rakan-rakan NGOs telah mula menyantuni warga Kampung Bahagia, Sandakan sejak kebakaran yang melanda mereka pada 19 April 2026.
Bermakna, Khidmat Malaysia telah bersama mereka selama sebulan tiga hari. Suatu jangka masa yang lebih lama berbanding mana-mana pihak lain. Alhamdulillah
Kebakaran ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam apabila lebih 1,000 buah rumah musnah dijilat api dengan kira-kira lebih 7,000 mangsa yang terkesan.
Kronologi Bantuan Kemanusiaan di Kampung Bahagia dan Kampung PPH Karamunting Sandakan
19 April 2026 – Khidmat Malaysia Sabah seawal pagi dengan suasana kebakaran dan api yang masih marak telah turun untuk memberikan bantuan dan pertolongan awal kepada warga yang terkesan.
25 April 2026 – Pengerusi Khidmat Malaysia Pusat YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary telah turun ke Kg Bahagia dan 8 PPS untuk menghulurkan bantuan berupa set makanan, pakaian wanita, set solat, keperluan bayi dan pendidikan.
27 April 2026 – YB Dato’ Hanafiah Mat mewakili Kerajaan Terengganu turut sama bertandang ke bumi Sandakan bagi menghulurkan bantuan dan sumbangn kepada warga Kampung Bahagia dan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
29 April 2026 – Berlaku kebakaran di Kampung PPH Karamunting, bantuan dan pertolongan awal daripada Khidmat Malaysia Sabah buat warga kampung.
3 Mei 2026 – YB Datuk Dr Aliakbar Gulasan, ADUN Karambunai Sabah turut turun ke kampung ini termasuk membantu 40 ketua keluarga mangsa kebakaran PPH Kampung Karamunting dan 1,000 pek makan tengah hari di Kampung Bahagia.
13 Mei 2026 – Khidmat Malaysia Membuka Dapur Rakyat bagi meringankan beban makan minum mereka untuk tempoh 11 hari sebagai proses pemulihan awal mangsa.
18 Mei 2026 – Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS pula turut turun menyantuni masyarakat Kampung Bahagia. Turut menyantuni dan memberikan penghargaan kepada 10 orang Guru Komuniti di kampung berkenaan yang juga sebahagian daripada ribuan mangsa kebakaran di kampung berkenaan.
17 & 18 Mei 2026 – Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma bersama pasukan doktor-doktor yang diketuai oleh YB Dato’ Dr Ahmad Yunus Khairi daripada MediCOM dan Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) bagi memantau dan memeriksa lebih dekat tahap kesihatan warga di kawasan bencana.
“Kami hanya sebagai posmen, menyempurnakan amanah dan bantuan anda kepada mereka”
Sekalung tahniah dan jutaan terima kasih kepada Khidmat Malaysia Pusat dan negeri-negeri serta rakan-rakan NGOs – Muslim Care Malaysia (MCM), Sabah Relief (SR), Untukmu Sandakan (US), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), MediCOM, Nisa’, Jabatan Amal (JAM), Yayasan Amal Malaysia (YAM), Kasih Hawa, Batu Sapi Prihatin, Pertubuhan Khidmat Sabah, Sandakan Prihatin serta rakan-rakan strategik seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Petronas Kota Kinabalu, Ansar Global, BAKIP dan para penyumbang yang tidak sempat disebut nama satu demi satu termasuk semua pihak yang terlibat.
Apapun, semoga warga Kampung Bahagia dan Karamunting PPH tetap tabah dan sabar mengharungi kehidupan hari-hari mendatang bagi membina kehidupan yang lebih bermakna.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN,
BERAMAL KERANA ALLAH”
SAHAR ABDUL MAJID
Pengarah,
Khidmat Malaysia Sabah – HARAKAHDAILY 22/5/2026











