
SUNGAI BESAR: Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Ustaz Razali Saari menyifatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar semua pihak memahami Rukun Negara, tepat pada waktunya.
Beliau menjunjung kasih atas titah baginda yang menzahirkan keprihatinan terhadap penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
Menurut Ustaz Razali, titah itu hadir ketika masyarakat semakin terdedah kepada budaya polemik, kecelaruan adab serta sikap melampaui batas dalam menyuarakan pandangan.
Katanya, Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang diulang dalam majlis rasmi, sebaliknya merupakan manifestasi nilai kenegaraan yang perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Dalam perspektif Islam, adab merupakan asas kepada pembinaan tamadun. Ulama terdahulu menyebut ‘adab didahulukan sebelum ilmu’ kerana ilmu tanpa adab akan melahirkan manusia yang hilang pedoman.
“Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa ayat 59 turut menegaskan kewajipan taat kepada Allah, Rasul serta Ulil Amri dalam perkara yang membawa kebaikan dan kemaslahatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, Institusi Raja di Malaysia bukan sekadar lambang pemerintahan, bahkan menjadi payung penyatuan rakyat serta benteng yang menjaga kedudukan agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Justeru katanya, sebarang pandangan atau kritikan hendaklah disampaikan dalam kerangka adab, hikmah dan rasa hormat terhadap institusi yang menjadi tunjang kestabilan negara.
“Saya menyeru seluruh rakyat khususnya generasi muda agar menjadikan titah Sultan Selangor ini sebagai satu peringatan besar untuk kembali menghayati prinsip Rukun Negara.
“(Sekali gus) memperkukuh perpaduan serta memelihara akhlak dan kesantunan dalam kehidupan bermasyarakat Daulat Tuanku,” katanya.
Terdahulu, menerusi kenyataan media bertarikh 19 Mei 2026, Sultan Selangor berkenan berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhampiran Tiang Bendera Negeri Selangor.
Baginda turut menyeru rakyat khususnya generasi baharu supaya membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan sama, baginda juga menyeru semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor hadir sendiri ke Dataran Selangor bagi membaca dan memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen berkenaan.
Titah baginda turut memberi penekanan khusus kepada ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya hadir ke Dataran Selangor.
Ia supaya untuk memahami dan menghayati makna Rukun Negara serta menghormati kedaulatan institusi Raja dan menjaga adab kesopanan serta kesusilaan. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











