PAS yakin PRU16 ubah landskap politik negara

- Advertisement -

LIPIS: PAS yakin mampu mengubah landskap politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasarkan rekod perjuangan parti itu yang disifatkan konsisten sejak penubuhannya lebih tujuh dekad lalu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, sejarah panjang dan ketahanan PAS sejak penubuhannya yang bersendikan Islam dan rujukan Al-Quran, menjadi bukti kukuh serta asas keyakinan bahawa PAS akan terus kekal relavan dan segar.

- Advertisement -

“Insya-Allah. Saya yakin dan percaya dalam PRU 16, landskap politik tanah air kita akan berubah,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Umum Khas di Markas PAS Pas Bapung, Padang Tengku Pahang, di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga merupakan Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Cheka dan Yang Dipertua PAS (YDP) Lipis, Ustaz Roslan Zainal Al-Ahmadi.

Riduan berkata, kemenangan sulung PAS di kerusi Parlimen Kerian pada Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1955 menjadi titik awal perjalanan panjang parti itu dalam arena politik negara.

Menurutnya lagi, jasa Yang Dipertua Agung PAS kedua, Almarhum Dr Abbas Alias yang menguruskan pendaftaran rasmi PAS sebagai sebuah parti politik turut menjadi sejarah penting kepada perkembangan parti berkenaan.

“Jasa Yang Dipertua Agung PAS kedua (1953–1956) ketika itu, Dr Abbas Alias, tokoh yang telah dilantik mendaftarkan PAS sebagai sebuah parti politik sah, amatlah besar.

“Melalui usaha beliaulah pendaftaran PAS diluluskan secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan pada 31 Mei 1955,” ujarnya.

Beliau turut mengaitkan penglibatan seorang kerani berbangsa India yang membantu urusan pendaftaran PAS ketika itu sebagai bukti hubungan awal parti berkenaan dengan masyarakat bukan Melayu.

“Sosok kerani berbangsa india yang membantu Dr Abbas mengurus urusan pendaftaran PAS ketika itu menjadi sejarah penting bagaimana PAS meletak kepercayaan dan membina ‘connection‘ awal dengan bangsa lain.

“Tahun 1955, Dr Abbas Alias ketika itu pendaftar parti politik. Itu cerita orang India tu. Orang India bantu PAS!

“Kerani yang duduk di Pejabat Pendaftaran, orang India! Dia yang bantu Dr Abbas Alias.

“Maka, jangan pelik kalau lihat orang India cenderung pada PAS! Mereka ada sejarah dengan PAS. Mereka bantu, luluskan,” ujarnya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh itu lagi, pelbagai tekanan termasuk penahanan pemimpin PAS di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekitar 1960-an hingga 1980-an tidak melemahkan parti itu, sebaliknya membuka ruang lebih besar kepada perjuangan PAS.

“Inilah parti kita. Tapi Allah buka jalan. Mereka tekan, Allah buka jalan. Jangan pelik sangat. Sebab setiap satu jalan ini Allah nak buka pintu kemenangan.

“Tiga hari lepas, ada program As-Sabiqun di Jerteh. Seorang budak Gen Z masuk program ini. Dia kata apa? Kami anak muda Gen Z, satu perkara utama mengapa ramai minat pada PAS, rekod PAS, satu kes rasuah tidak ada.

“Makna apa? Apabila orang-orang muda, ‘first time’ orang tengok rekod yang terbaik memerintah, yang paling ramai orang cerdik, ialah Parti Islam Semalaysia, PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2026

- Advertisement -