
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Hadi Awang menyifatkan kenyataan dan pendirian DAP berhubung beberapa perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan menunjukkan gambaran sebenar perjuangan parti itu yang dilihat bercorak sekular serta mengancam kedudukan Melayu-Islam di negara ini.
Menurut beliau, perjuangan berasaskan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa DAP dilihat mencabar kedaulatan institusi raja-raja Melayu serta hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Itu menunjukkan gambaran DAP yang sebenar. Perjuangan sekularisme dan konsep Malaysian Malaysia mengancam kedaulatan raja-raja serta menghentam ketuanan Melayu-Islam di negara ini.
“Mereka tidak menghargai hak orang Melayu dan kedudukan Islam yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Hak rakyat pelbagai agama untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing juga sudah dijamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di kediamannya di Rusila, di sini, hari ini.
Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perkara berkaitan kedudukan Islam, institusi raja-raja Melayu dan hak orang Melayu dalam Perlembagaan sepatutnya dihormati semua pihak tanpa dipersoalkan.
Menurutnya, parti komponen lain dalam kerajaan termasuk MCA boleh menerima perkara tersebut, namun DAP dilihat terus mempertikaikannya.
“MCA boleh terima, MIC boleh terima, kenapa DAP tidak boleh terima?
“Kalau hendak membatalkan perkara-perkara ini, itu sudah melampau dan ekstrem,” tegas beliau.
Terdahulu, beberapa pemimpin DAP dilaporkan terus menyanggah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegur wakil rakyat parti itu berkaitan isu penghormatan terhadap institusi diraja dan penghayatan Rukun Negara.
Terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tony Pua mengingatkan mengenai kuasa Raja Berperlembagaan beberapa jam selepas Sultan Selangor bertitah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu membaca serta menghayati Rukun Negara.
Tony berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa Raja-Raja tertakluk kepada perkara tertentu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan termasuk berkaitan adat Melayu, agama Islam dan pelantikan Menteri Besar.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah supaya Wong Siew Ki dan Ronnie Liu hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami serta menghayati makna Rukun Negara selain menghormati kedaulatan institusi diraja. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











