
IPOH: Pada saat rakyat sedang berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran global, negara memerlukan kepimpinan yang menenangkan keadaan.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, negara juga memerlukan kepimpinan yang memperkukuhkan perpaduan rakyat, bukannya terus mencetuskan kontroversi demi kontroversi yang tidak membawa manfaat kepada negara.
“PAS Perak menyeru semua pihak agar kembali menghormati semangat Perlembagaan, menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.
“Serta mengelakkan kenyataan yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Penasihat Dasar kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua Kiam Wee yang dilihat mempertikaikan titah serta nasihat Sultan Selangor.
Titah tersebut jelas beliau berkaitan isu yang menyentuh asas Perlembagaan Persekutuan, keharmonian kaum dan sensitiviti masyarakat majmuk negara ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS, menjelaskan, institusi Raja-raja Melayu merupakan payung kepada kestabilan negara dan lambang perpaduan rakyat.
“Justeru, sebarang respon terhadap titah atau pandangan Raja-raja Melayu hendaklah dilakukan dengan penuh adab, berhati-hati serta menghormati kedudukan institusi tersebut dalam kerangka Perlembagaan negara.
“Sikap mempertikaikan atau memberi reaksi secara terbuka dengan nada yang mengundang polemik hanya akan menambahkan keresahan rakyat dan mengeruhkan lagi hubungan antara kaum serta agama,” jelasnya.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Serai itu, PAS Perak berpandangan isu melibatkan Bahasa Kebangsaan, pendidikan, agama, Perlembagaan dan hak-hak yang termaktub dalam kontrak sosial negara tidak boleh diperdebatkan secara emosional dan sempit.
“Semua pihak perlu mengutamakan pendekatan yang lebih matang dan bertanggungjawab demi memelihara keamanan serta keharmonian negara yang telah dibina sejak sekian lama,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Susulan itu, Tony Pua yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara, dalam kenyataannya mendakwa, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.
“Namun secara umumnya, kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya baru-baru ini.
Dalam kenyataannya itu lagi, beliau juga mendakwa, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Beliau juga mendakwa, sebaliknya negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dianggotai wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan keputusan tersebut.
Tambah beliau, perkara itu selaras sepenuhnya dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











