
ADA satu permainan politik yang sedang dimainkan dengan licik oleh DAP dalam kerajaan Perpaduan ini. Mereka cuba menggunakan sentimen tahfiz dan pendidikan Islam untuk menghalalkan agenda tersembunyi mereka terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melalui pintu belakang sistem kemasukan universiti awam negara.
Ini bukan sekadar isu teknikal pentadbiran. Ini adalah cubaan halus untuk memesongkan prinsip asas sistem pendidikan nasional yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Apabila pelajar tahfiz diminta melengkapkan kelayakan SPM untuk layak memohon melalui UPU, ini bukan satu bentuk diskriminasi. Ini adalah manifestasi daripada prinsip kesaksamaan dalam sistem pendidikan nasional.
Tahfiz adalah sebahagian daripada ekosistem pendidikan Islam yang sememangnya diiktiraf dan dilindungi oleh Perlembagaan negara ini, ia wujud dalam kerangka Ketuanan Melayu dan kedudukan istimewa Islam sebagai agama persekutuan. Oleh itu, apabila tahfiz melengkapkan diri dengan kelayakan nasional seperti SPM, ia sebenarnya sedang mengukuhkan ekosistem pendidikan Islam dalam kerangka nasional yang sah, bukan mengubahnya.
Tetapi UEC adalah cerita yang berbeza sama sekali. UEC adalah sistem pendidikan persendirian yang beroperasi di luar kerangka pendidikan nasional.
Ia tidak mengguna pakai silibus nasional. Ia tidak menjadikan Bahasa Melayu sebagai teras utama. Ia tidak menjadikan mata pelajaran Sejarah dan elemen patriotisme negara sebagai komponen wajib seperti yang termaktub dalam falsafah pendidikan kebangsaan.
Maka apabila ada pihak yang cuba menyamakan kedudukan tahfiz dengan UEC dalam konteks kemasukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sesungguhnya mereka sedang bermain api dengan sentimen umat Islam untuk mencapai matlamat politik sempit mereka.
Ini adalah penghinaan kepada institusi tahfiz dan sistem pendidikan Islam secara keseluruhan. Rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan logik yang lari daripada prinsip asas pentadbiran negara.
Maka di sini saya ingin bertanya dengan tegas kepada pemimpin DAP dan rakan-rakan mereka dalam kerajaan Perpaduan, jika benar UEC setaraf dengan sistem pendidikan nasional, mengapa pelajar UEC perlu diberi laluan khas ke IPTA? Mengapa mereka tidak mengikuti jalan yang sama seperti jutaan pelajar lain termasuk pelajar tahfiz iaitu melengkapkan diri dengan kelayakan SPM, kemudian memohon secara saksama melalui UPU?
Setiausaha Agung DAP sendiri mengakui bahawa lebih 80 peratus calon UEC turut mengambil SPM penuh. Jika demikian keadaannya, apakah justifikasi untuk memberikan kelonggaran yang boleh mencemarkan prinsip kesaksamaan dalam sistem pendidikan tinggi negara?
Jawapannya jelas. ini bukan tentang kesaksamaan pendidikan, tetapi tentang menolak standard nasional untuk kepentingan politik sempit. UPU adalah saluran nasional untuk kelayakan nasional. Ia bukan medan tawar-menawar standard atau pintu belakang untuk memuaskan hati parti politik tertentu.
Jika mahu masuk melalui saluran nasional, penuhilah syarat nasional. Jika tidak, gunakan saluran terbuka yang sedia ada di IPTA atau teruskan ke IPTS dan universiti luar negara. Itu sahaja.
Jangan jadikan tahfiz sebagai kuda tunggangan untuk menipu rakyat bahawa semua sistem pendidikan adalah sama, sedangkan dari awal lagi ia berbeza dalam falsafah, struktur dan matlamat.
PAS Pahang dengan tegas menolak sebarang percubaan untuk memesongkan sistem pendidikan nasional melalui helah politik murahan ini. Kami mendesak kerajaan negeri Pahang yang dikuasai UMNO dan Barisan Nasional untuk berdiri tegas bersama rakyat dalam mempertahankan prinsip kesaksamaan pendidikan, dan jangan tunduk kepada tekanan politik daripada rakan mereka dalam kerajaan Perpaduan.
Rakyat Pahang mahukan pemimpin yang berani mempertahankan standard nasional, bukan pemimpin yang menjadi yes-man kepada agenda politik yang jelas-jelas bertentangan dengan kepentingan anak Melayu dan bumiputera di negara ini.
Kami mencabar Menteri Besar Pahang untuk menyatakan pendirian yang jelas: adakah Kerajaan Negeri Pahang menyokong usaha menyelitkan UEC ke dalam sistem UPU tanpa kelayakan SPM yang sama seperti yang dikehendaki daripada pelajar tahfiz? Atau adakah Kerajaan Negeri Pahang akan berdiri bersama rakyat dalam mempertahankan prinsip asas sistem pendidikan nasional?
Rakyat Pahang menunggu jawapan yang jelas, bukan retorik politik yang mengelirukan.
YB DATO’ USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang/ADN Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 22/5/2026











