
KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap pembinaan hubungan dengan anak-anak sejak kecil walaupun berdepan kesibukan kerja harian.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, masa berkualiti bersama anak-anak amat penting dalam membentuk sahsiah, emosi serta jati diri mereka.
“Walaupun sibuk, pastikan ada masa makan bersama, sembang bersama dan luangkan masa dengan anak,” katanya yang juga bekas Rektor Kolej Universiti Antarabangsa Islam Selangor.
Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa memperuntukkan masa khusus antara waktu Maghrib hingga Isyak untuk bersama keluarga, termasuk aktiviti seperti berbual, memberi perhatian terhadap pelajaran serta membimbing anak-anak.
Menurutnya, tempoh tersebut merupakan waktu terbaik untuk membina hubungan kerana selepas itu anak-anak dan ibu bapa masing-masing akan kembali kepada komitmen sendiri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras menegaskan bahawa kegagalan membina hubungan sejak awal boleh menyebabkan anak menjauh apabila meningkat remaja.
“Umur 15 tahun ke atas, mereka akan mula bawa haluan sendiri. Masa kecil itulah peluang kita rapat dengan mereka. Kalau pergi kedai atau berjalan, ajak anak bersama. Nanti akan sampai satu masa kita ajak, mereka sudah tidak mahu ikut,” katanya.
Dr Ab Halim berkata demikian sebagai menekankan bahawa pentingnya pendekatan ibu bapa perlu melibatkan anak-anak dalam aktiviti harian, walaupun perkara yang kecil.
Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman meluangkan masa bersama anak sejak kecil memberi kepuasan tersendiri dan membantu membina hubungan yang lebih erat.
Selain itu, beliau mengingatkan bahawa waktu makan bersama keluarga tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan antara medium paling efektif untuk berinteraksi.
“Makan bersama ini nampak ‘simple’, tetapi sangat berkesan untuk bina ‘bonding’ dengan anak,” ujarnya menasihati agar ibu bapa mengelakkan amalan makan secara berasingan atau terlalu bergantung kepada hiburan seperti televisyen ketika bersama keluarga.
Dalam konteks keluarga Muslim, beliau turut menekankan kepentingan solat berjemaah sebagai salah satu cara mendidik dan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.
“Suami jadi imam, anak-anak ikut. Ini bukan sahaja ibadah, tetapi juga membina hubungan dalam keluarga,” katanya turut menggalakkan agar meluangkan masa membawa anak ke masjid atau program komuniti bagi memberi pendedahan lebih luas kepada mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kerana anak-anak menjadikan mereka sebagai ‘role model’ dalam kehidupan.
“Kalau anak kita kata dia nak jadi macam ayah atau ibu, itulah kejayaan terbesar sebagai ibu bapa,” ujarnya mengakui cabaran mendidik anak zaman sekarang semakin kompleks, terutama apabila ibu bapa sendiri tidak mempunyai persediaan atau ilmu keibubapaan mencukupi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa belajar dan mendapatkan panduan dalam mendidik anak-anak, selain memastikan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
“Ada ibu bapa yang tak tahu bagaimana nak tegur anak, akhirnya biarkan sahaja. Ini perkara yang perlu diperbaiki. Anak itu amanah. Sibuk macam mana pun, kita tetap perlu ada masa untuk mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2026











