Kempen tanam pokok perkukuhkan ekonomi rakyat

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Program agihan pokok dan kempen pertanian komuniti yang dilaksanakan di seluruh Kelantan dilihat mampu memperkukuh ekonomi rakyat serta menggalakkan masyarakat memanfaatkan tanah terbiar di sekitar rumah dan kebun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program yang telah berjalan hampir setahun itu melibatkan pengagihan pelbagai jenis pokok tanaman secara kecil-kecilan kepada masyarakat umum.

- Advertisement -

Menurutnya, usaha tersebut bukan sahaja bergantung kepada Jabatan Pertanian, malah membuka ruang kepada masyarakat memberi pandangan, cadangan dan berkongsi ilmu berkaitan sektor pertanian.

“Walaupun dibuat secara kecil-kecilan, tetapi kalau ditanam dengan betul, ia boleh memberi manfaat dan hasil yang baik.

“Pokok kalau dijaga dengan baik boleh hidup sehingga puluhan tahun, tetapi kalau tidak kena caranya, tiga hari pun boleh mati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program APO KOBAR Pok Tani Agro Al-Falah (KAPOK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu menggerakkan kempen kesedaran supaya rakyat memanfaatkan tanah yang masih boleh diusahakan untuk tanaman makanan dan sumber pendapatan.

Menurutnya, sekiranya terdapat cadangan projek pertanian berskala besar daripada masyarakat atau golongan muda, perkara itu boleh diketengahkan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Pertanian bagi mendapatkan bantuan serta khidmat teknikal.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan mempunyai pelbagai bajet untuk rakyat. Kadang-kadang orang lain dapat bantuan kerana mereka tahu saluran dan cara memohon.

“Jabatan Pertanian Kelantan sahaja menerima peruntukan melebihi RM20 juta termasuk pengurusan dan program pembangunan ekonomi rakyat,” jelasnya.

Tambah beliau, pertanian bukan sekadar aktiviti ekonomi, malah mempunyai nilai kebajikan dan ganjaran besar di sisi agama apabila hasil tanaman dapat dikongsi dengan jiran serta golongan memerlukan.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai menanam pelbagai jenis tanaman termasuk kelapa memandangkan Malaysia masih mengimport bekalan berkenaan dari luar negara termasuk Indonesia.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Dato’ Dr Izani Husin berkata, program penanaman pokok cepat hasil mampu memberi manfaat kepada penduduk terutama mereka yang mempunyai kawasan tanah di sekitar kediaman.

Beliau menyatakan bahawa penduduk perlu memanfaatkan bantuan anak pokok yang diberikan dan memastikan tanaman dijaga dengan baik supaya tidak rosak atau mati.

“Kadang-kadang pokok diberi tetapi tidak ditanam dengan betul hingga akhirnya mati dan kering.

“Sebab itu kali ini kita mahu pastikan pokok yang diterima benar-benar ditanam dan dijaga,” ujarnya yang juga exco kerajaan negeri.

Beliau berkata, penduduk yang mempunyai tanah termasuk tanah sewa digalak mengambil peluang menyertai program tanaman tersebut bagi menambah hasil dan pendapatan keluarga.

Menurut beliau, pihak yang memerlukan bekalan anak pokok juga boleh membuat permohonan melalui jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Hari ini kita lihat masih banyak kawasan sekitar rumah yang boleh dimanfaatkan dengan tanaman pokok buah-buahan dan kayu..

“Insya-Allah, dengan adanya program seperti ini lebih ramai penduduk akan mendapat manfaat pada masa depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22//5/2026

- Advertisement -