Bantuan usahawan dipertingkat perkasa industri koko

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia terus mempergiat usaha memperkasa industri koko termasuk membantu petani dan usahawan kecil melalui bimbingan teknikal, bantuan peralatan serta program pemulihan tanaman koko.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata, bantuan kepada usahawan seperti peralatan dan mesin kecil dengan nilai bantuan sehingga RM5,000.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman mikro kredit sehingga RM10,000 bagi membantu usahawan mengembangkan perusahaan mereka.

“Kita juga membantu petani melalui penyediaan baja organik keluaran ‘biotech’ yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis tanaman termasuk koko.

“Mana-mana petani yang ada tanah sesuai perlu membuat ujian tanah terlebih dahulu di Jabatan Pertanian sebelum memohon menyertai projek tanaman koko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Kursus Pembuatan Coklat Buatan Tangan, di sini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri sudah menjalinkan kerjasama rapat dengan Lembaga Koko Malaysia khususnya bagi membantu petani mendapatkan ilmu serta bimbingan berkaitan tanaman koko.

“Lembaga Koko Malaysia mempunyai cawangan di Machang yang memudahkan petani mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penanaman koko.

“Kita akan bantu membawa peserta untuk mendapatkan bimbingan terus daripada Lembaga Koko Malaysia sama ada melalui anak syarikat kerajaan negeri atau kerjasama dengan syarikat berkaitan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan Usahawan Lembaga Koko Malaysia, Mohd Rizman Naijer Mahidin berkata, berlaku peningkatan terhadap tanaman koko di negara ini termasuk di Kelantan.

Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, pihaknya melaksanakan program pemulihan tanaman koko yang terbiar selain menggalakkan tanaman baharu.

“Ramai petani koko kita sudah berusia dan apabila mereka tidak lagi mampu mengusahakan kebun, tanaman itu akhirnya terbiar kerana tiada generasi baharu menyambung usaha tersebut.

“Jadi, kita fokus kepada program pemulihan tanaman dan peluasan tanaman baharu di beberapa kawasan termasuk Machang, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Pasir Mas dan Dungun,” jelasnya.

Tambah beliau, ketika ini terdapat seramai 128 petani koko di Kelantan melibatkan keluasan kira-kira 38.8 hektar.

“Harga biji koko kering ketika ini sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram, namun bagi pengeluaran coklat single origin ada syarikat sanggup membeli antara RM25 hingga RM40 sekilogram,” katanya. – HARAKAHDAILY 22//5/2026

- Advertisement -